
Tidak cukup dengan barisan model berprestasi tinggi sedia ada, kali ini Toyota mendaftarkan nama baharu yang memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik syarikat tersebut.
Menurut laporan Motor1, Toyota memfailkan pendaftaran nama MR2 di Jepun, serta MR-S di Australia pada bulan lepas.
Namun buat masa ini, tiada sebarang perincian diketahui sama ada MR2 akan muncul sebagai kereta sports berenjin pembakaran dalaman atau kereta sports berkuasa elektrik.
Namun, Toyota sebelum ini pernah mendedahkan sebuah kereta konsep yang mempunyai tetapan enjin tengah dinamakan sebagai Sports EV pada tahun 2021 diikuti FT-Se Concept pada tahun 2023.
Awal tahun ini, Toyota memperlihatkan pula Yaris M Concept yang menampilkan tetapan enjin tengah 2.0 liter turbo (kod G20E).
Itu merupakan sebahagian daripada petanda kemunculan semula nama ikonik MR2/MR-S yang mampu merancakkan lagi segmen kenderaan berprestasi tinggi.
Generasi pertama MR2 muncul pada tahun 1984 sebagai sebuah kereta sports dua tempat duduk dengan tetapan enjin tengah pacuan roda belakang.
Generasi kedua pula tiba pada tahun 1989 dan turut dikenali sebagai ‘poor man’s Ferrari’ disebabkan rekaan dan prestasi yang ditawarkan.
Jualan MR2 ditamatkan pada tahun 2007 disebabkan prestasi jualan yang semakin merudum.






