Toyota RAV4 2026 lancar di Jepun, 2.5L hibrid, dari RM118 ribu

6

Toyota Motor Corporation secara rasmi melancarkan generasi terbaharu SUV ikonik mereka, Toyota RAV4 di pasaran Jepun pada 17 Disember 2025.

Pengenalan RAV4 baharu ini dilaporkan secara panjang lebar pada Mei lalu.

Model generasi keenam ini dibina berasaskan konsep Life is an Adventure yang bertujuan memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup moden melalui tiga teras pembangunan utama iaitu Kepelbagaian, Elektrifikasi dan Kecerdasan.

Dilahirkan pada tahun 1994 sebagai perintis genre SUV baharu, RAV4 menggabungkan keseronokan pengembaraan off-road dan pemanduan bandar pada ketika SUV lain hanya dianggap sebagai kenderaan off-road.

Sepanjang tiga dekad, RAV4 terus berevolusi mengikut peredaran zaman dan kini tampil lebih canggih melalui model generasi terbaharu.

3 Varian Utama Jepun

  • Varian Z: Tampil sofistikated dengan reka bentuk hadapan yu tukul (hammerhead). Bahagian belakang direka kemas dengan integrasi kaca tingkap dan lampu yang memberikan kesan lebar dan premium.
  • Varian Adventure: Menawarkan imej lasak dengan muncung hadapan yang lebih tinggi serta pendakap gerbang roda yang besar. Ruang dalamannya menggunakan tema warna Mineral iaitu hijau kusam dengan riasan oren serta corak penyamaran pada panel instrumen.
  • Varian GR SPORT: Fokus kepada prestasi pemanduan dan bakal memasuki pasaran pada 2026.

Dalaman dan Ciri Pertama Toyota

Di bahagian kabin, Toyota memperkenalkan island architecture atau seni bina pulau yang menyusun fungsi paparan, gear dan kawalan dalam kelompok tertentu bagi meningkatkan tahap ergonomik.

Beberapa ciri canggih yang pertama kali diperkenalkan oleh Toyota pada model ini termasuklah:

  • Papar Pandu (HuD) Berwarna (Angled Display): Menggunakan paparan bersudut perspektif bagi memudahkan pengenalan maklumat dengan pilihan tiga mod paparan iaitu Full, Standard atau Minimum.
  • Sistem Electro-Shiftmatic: Sistem penukaran gear satu arah yang intuitif, menyatukan tuas gear, brek parkir elektrik dan suis penahan brek dalam satu kelompok berfungsi bagi meminimumkan pergerakan tangan dan mata.
  • Multimedia Generasi Baharu: Skrin paparan audio 12.9 inci kini menjadi standard, disertakan dengan sistem pengecaman suara yang bertindak balas dalam masa satu saat sahaja.

Prestasi Hibrid Dan Keupayaan Sistem E-Four

Dari aspek rangkaian kuasa, RAV4 dibekalkan sistem hibrid generasi baharu yang lebih bertenaga dan stabil untuk pelbagai keadaan pemanduan.

  • Rangkaian Kuasa: Menggunakan enjin 2.5 liter 4 silinder sebaris (A25A-FXS) dengan output sistem maksimum mencecah 177 kW (240 hp).
  • Sistem E-Four: Sistem pacuan empat roda elektrik mengawal agihan daya antara roda hadapan dan belakang dalam nisbah 100:0 sehingga 20:80.
  • Mod Pemanduan: Dilengkapi mod TRAIL dan SNOW yang berfungsi mengawal brek pada roda yang berpusing serta menghantar tork ke roda bertentangan untuk kestabilan di laluan sukar.

Praktikaliti Ruang Dan Dimensi Kenderaan

Toyota mengekalkan saiz yang praktikal untuk kegunaan harian namun mengoptimumkan ruang dalaman bagi keselesaan pengguna.

Varian Z mempunyai ukuran panjang 4,600 mm dan lebar 1,855 mm, manakala Varian Adventure pula sedikit lebih besar dengan panjang 4,620 mm dan lebar 1,880 mm.

Dari segi ruang kargo:

  • Kapasiti But: Kini diperluaskan kepada 749 liter (meningkat 16 liter berbanding model lama).
  • Rekaan Lantai: Toyota berjaya mengurangkan kecerunan lantai apabila tempat duduk belakang dilipat bagi menghasilkan ruang kargo yang hampir rata sepenuhnya.

Keselamatan Pintar Berasaskan Platform Arene

RAV4 merupakan model pertama yang memanfaatkan platform perisian Arene, membolehkan sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) dan antara muka pengguna (UI) dibangunkan dengan lebih pantas.

Penambahbaikan utama termasuk:

  • Keselamatan Pra-Pelanggaran: Mampu mengesan kenderaan di persimpangan jalan serta mengesan kenderaan yang muncul dari belakang kereta lain dengan lebih cepat.
  • Kawalan Jelajah Radar: Keupayaan mengesan lebih awal kenderaan yang ingin masuk ke lorong pada kelajuan rendah.
  • Fungsi Berhenti Bahu Jalan: Jika sistem mengesan kecemasan pada pemandu, kenderaan akan memberikan amaran sebelum memperlahankan dan menghentikannya di bahu jalan secara automatik.
  • Monitor Pandangan Panoramik: Kini dilengkapi 3D View yang membolehkan pengguna menyemak sekeliling kenderaan dengan hanya meleret pada skrin.

Harga Dan Pakej Aksesori

Toyota mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit sebulan bagi varian hibrid (HEV) di Jepun, manakala varian plug-in hybrid (PHEV) dijangka menyusul dalam tahun fiskal 2026.

Berikut adalah harga jualan yang ditawarkan bagi pasaran Jepun:

  • Varian Z (HEV E-Four): ¥4,900,000 (RM 129,115)
  • Varian Adventure (HEV E-Four): ¥4,500,000 (RM 118,575)

Bagi pemilik yang mahukan penampilan lebih eksklusif, Toyota menawarkan Pakej Lifestyle (Varian Z) pada harga ¥586,760 (RM 15,461) yang menggunakan aksesori MODELLISTA.

Pakej Outdoor (Varian Adventure) ditawarkan pada harga ¥508,310 (RM 13,394) yang merangkumi aksesori lasak seperti penghadang angin bonet dan lampu storan sisi.

Toyota RAV4 Adventure 2026

Toyota RAV4 Z 2026

Toyota RAV4 2026

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here