
Yamaha dilapor bakal hadir dengan model sportbike baharu berdasarkan tanda dagang ‘YZF-R2’ yang ditemukan di India, seperti yang dilaporkan oleh AutoCar India.
Besar kemungkinan YZF-R2 merujuk kepada sportbike reraup penuh dengan enjin bersesaran 200 cc dan diposisikan di atas model R15 sedia ada.
Ini bukanlah kali pertama nama YZF-R2 ditemukan.
Yamaha sebelum ini memfailkan pendaftaran nama R2 di beberapa pasaran antarabangsa termasuklah Australia, New Zealand, Eropah dan Filipna sejak tahun 2021 lagi.
Sekiranya R2 direalisasikan, ia dijangka menawarkan prestasi yang jauh lebih tinggi berbanding angka 18.4 hp dan 14.2 Nm yang dihamburkan oleh enjin 155 cc pada model R15.
Setakat ini, tiada sebarang informasi terperinci didedahkan berkenaan aspek mekanikal YZF-R2, sama ada ia bakal ditawarkan dengan enjin silinder tunggal atau tetapan dua-silinder.
Untuk makluman, Yamaha turut menjual model YZF-R25 di beberapa pasaran Asia terpilih termasuklah Malaysia dan Indonesia dengan enjin parallel-twin menghasilkan kuasa 35.9 hp dan 22.5 Nm.































