Sanggup berhabis hingga RM18k ubahsuai Ysuku

13

Hanya kerana mahu mengejar gah dalam kalangan rakan, pemilik motosikal Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ sanggup berhabis duit gaji sehingga RM18,000 untuk mengubah suai kenderaan secara ekstrem.

Itu antara kesalahan utama yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan modifikasi termasuk penggunaan ekzos bising, tiada brek depan atau belakang, tayar sotong, selain enjin berkuasa tinggi.

Op Pelbagai itu dijalankan JPJ Putrajaya bersama JPJ Kuala Lumpur di susur Genting Sempah, Plaza Tol Gombak dan sekitar ibu negara seperti Jalan Ampang.

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan masih bersekolah yang ditahan bersama rakannya kerana menunggang motosikal tanpa lesen menangis keresahan apabila Honda Vario 160 milik bapanya disita JPJ.

“Saya cuma jalan-jalan nak pergi makan sahaja dengan kawan (pembonceng).

“Mak tak tahu saya keluar. Takut nak telefon mak, nanti kena marah,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 63 motosikal diubah suai secara ekstrem disita dalam operasi yang bermula jam 10 malam, Sabtu.

Sebanyak 3,244 kenderaan diperiksa dan 811 saman dikeluarkan sepanjang operasi.

“Tangkapan penunggang motosikal paling muda berusia 14 tahun yang berada di atas jalan raya dengan motosikal diubah suai,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan temu siasat, sebuah motosikal diubah suai dengan kos tinggi sekitar RM5,000 hingga RM18,000. 

“Tangkapan ini melibatkan pelbagai bangsa serta warga asing dan ini menggambarkan seriusnya isu sebegini.

“Operasi ini hasil rungutan dan aduan orang awam di sekitar bandar raya yang tidak selesa dengan bunyi bising, cara pemanduan dan aksi yang dipamerkan. Ibu bapa perlu menjaga pergerakan anak masing-masing.

“Dipercayai tujuan ubah suai motosikal ini adalah untuk kelajuan, memperkuat bunyi… bila motosikal semakin ekstrem, mereka merasakan lebih gah dalam kalangan rakan. Kita syak ada yang melibatkan perlumbaan haram,” jelasnya. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here