
Bahagian Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya menahan seorang lelaki warga tempatan selepas disyaki menggunakan MyKad milik orang lain bagi menebus bantuan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh, baru-baru ini.
Tindakan tangkapan dibuat susulan aduan daripada pemilik sebenar MyKad selepas mendapati berlaku penebusan BUDI95 tanpa pengetahuannya.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun telah menggunakan MyKad tersebut di Stesen Minyak Petron, Gemencheh.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya,” menurut kenyataan.

Pihak penguatkuasa menahan suspek di sebuah Rumah PPRT Kampung Baru, Sungai Lerek dan permohonan perintah reman dibuat di Mahkamah Majistret Tampin pada 27 Disember lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“JPN menegaskan bahawa memiliki atau menggunakan MyKad milik orang lain untuk apa-apa tujuan termasuk penebusan bantuan kerajaan adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memberi amaran keras terhadap perbuatan menebus subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) menggunakan MyKad milik individu lain.
Menurut kenyataan itu, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Awas! orang ramai diingatkan bahawa menebus penggunaan BUDI95 menggunakan MyKad milik orang lain adalah satu kesalahan.
“Sekiranya anda menghadapi masalah MyKad atau kehilangan MyKad, sila laporkan segera kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.




























