Utama Berita Automotif Pemilik Zeekr dapat keahlian JomCharge Platinum percuma diskaun cas 25 peratus

Pemilik Zeekr dapat keahlian JomCharge Platinum percuma diskaun cas 25 peratus

4

Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan pengendali pengecasan kenderaan elektrik (EV), JomCharge.

Kerjasama itu menyaksikan pemilik kenderaan Zeekr menerima keahlian JomCharge Platinum secara percuma kepada sehingga 31 Disember tahun ini.

Melalui tawaran tersebut, pemilik Zeekr yang menjadi ahli JomCharge Platinum akan menikmati diskaun 25 peratus untuk pengecasan di lebih 1,000 tempat mengecas milik JomCharge di seluruh negara.

Tawaran ini memberi nilai tambahan kepada pemilik Zeekr yang menggunakan rangkaian pengecas awam untuk perjalanan harian.

Untuk mendapatkan keahlian Platinum percuma, pemilik Zeekr perlu melengkapkan borang pendaftaran disediakan Zeekr Malaysia.

Mereka juga perlu memastikan alamat e-mel digunakan dalam borang adalah sama dengan alamat e-mel didaftarkan pada akaun JomCharge masing-masing.

Selepas borang dihantar, pihak JomCharge akan membuat pengesahan status pemilik Zeekr sebelum mengaktifkan permohonan keahlian Platinum percuma berkenaan.

Pengaktifan hanya akan dilakukan selepas proses pengesahan berjaya, membolehkan pemilik menikmati manfaat keahlian sehingga tarikh ditetapkan.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, jumlah komuniti pemilik Zeekr di Malaysia kini melebihi 5,000 orang.

Katanya, syarikat akan terus mencari kaedah untuk meningkatkan pengalaman pemilikan menerusi kerjasama strategik, sokongan selepas jualan serta pelbagai manfaat yang memberi nilai kepada pelanggan.

Kerjasama terbaru dengan JomCharge ini menyusuli perkongsian terdahulu antara Zeekr Malaysia dengan DC Handal.

Menerusi kerjasama tersebut, pemilik Zeekr boleh mengecas kenderaan mereka di mana-mana lokasi pengecasan DC Handal pada kadar RM1.20 setiap kWh, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan lokasi tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, JomCharge pada awal bulan ini memperkenalkan JomChargeX sebagai penjenamaan baru untuk rangkaian pengecas arus terus (DC) berkelajuan ultra pantas dengan kuasa melebihi 200 kW.

Setakat bulan ini, terdapat dua lokasi menawarkan pengecas di bawah jenama tersebut.

Lokasi pertama ialah di Litar Antarabangsa Sepang dalam kawasan SIC Motorsport Park, yang mempunyai tiga pengecas dengan kapasiti keseluruhan 360 kW menerusi enam soket pengecasan.

Satu lagi lokasi terletak di Xpark Sunway Serene, menawarkan kapasiti sehingga 480 kW menerusi dua soket pengecasan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here