
Antara model klasik yang kerap menjadi mangsa projek restomod ialah Land Rover Defender.
Ada yang diubahsuai menjadi lebih berkuasa, ada pula yang gemar menggantikan terus enjin kepada unit pacuan elektrik sepenuh masa.
Tapi unit yang dipaparkan ini membawakan tema yang agak gila: sebuah Land Rover yang lebih rendah berbanding kebiasaan.
Dinamakan sebagai Slamd-Rover, ia menggabungkan bentuk kotak Land Rover pada sebuah casis Volkswagen Beetle, dengan sistem gantungan yang sengaja direndahkan sehingga hampir mencium tar.
Pada mulanya, ia bersifat sebagai sebuah projek terbengkalai sebelum dibeli oleh pemilik sekarang pada tahun 2020.
Dengan kerjasama pembina UK tersohor seperti Dropworks Customs dan Lowdown Transporters, projek ini akhirnya siap.
Disebabkan suspensi udara yang terlalu rendah, Slamd-Rover ini kehilangan keupayaan off-road Defender klasik.
Ia dipacu enjin boxer sejukan udara 1.6 liter yang diambil daripada VW Type 2 Bus, lengkap dengan karburetor berkembar dan ekzos kustom dan diposisikan di bahagian belakang.
Tema air-cooled itu kemudian diteruskan dengan padanan rim Porsche 17 inci, serta siap dengan tayar gantian di atas bonet.
Seperti yang anda lihat, panel badan Slamd-Rover ini diambil daripada Land Rover Series III sebelum dilayangkan dengan kemasan hijau kusam, sementara bumbung beige pula datang daripada model Safari.
Ruang dalamnya memang ringkas, di mana terdapat bangku kustom, roda stereng kayu, panel meter berbentuk bulat dan tuil gear yang agak tinggi.
Jika anda berminat, Slamd-Rover ini ada disenaraikan di laman eBay dengan harga £15,000 (RM81 ribu) dan sedia dihantar ke mana sahaja di seluruh dunia (bermaksud ada kos tambahan yang perlu anda sediakan).
































