
Tahukah anda, produksi Land Rover Defender versi klasik sebenarnya sudah pun berakhir sejak lebih sedekad lalu.
Namun, pihak Land Rover sudi untuk menawarkan kembali Defender klasik tersebut menerusi program Works Bespoke sekiranya anda mempunyai lubuk duit infiniti dan tak tahu ke mana harus dibelanjakan.
Salah satu contoh yang boleh dibuat ialah memadankan Defender klasik dengan spesifikasi Defender Octa yang lebih moden.
Land Rover menawarkan pilihan cat seperti Petra Copper, Faroe Green, Sargasso Blue, Narvik Black, Carpathian Grey atau Charente Grey di mana setiap satu warna memakan masa 300 jam untuk disiapkan.
Terdapat juga lima rekaan rim dengan pilihan 11 kemasan serta dua saiz iaitu 16 dan 18 inci.
Selain penampilan luaran, pemilik juga boleh memadankan kemasan upholsteri kulit dan fabrik yang sama daripada Defender Octa pada Defender klasik, dengan pilihan warna Khaki Green, Light Cloud, Lunar, Burnt Sienna dan Ebony.
Defender Classic dikuasakan oleh enjin bentangan V8 aspirasi natural (NA) yang mampu menghasilkan 400 hp dan 515 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.
Selain itu, Land Rover turut menaik taraf sistem brek, stereng, serta tetapan suspensi baharu.
Menurut Land Rover, idea untuk menawarkan penyesuaian ini datangnya daripada pelanggan itu sendiri, di mana mereka gemar untuk memadankan spesifikasi yang hampir sama untuk kedua-dua Defender moden dan klasik.
Kos untuk mendapatkan sebuah Defender Classic ini bermula dari £190,000 (RM1.043 juta).





























