Kawasaki umum robot-motosikal empat kaki akan mula dijual 2035

5

Konsep robot-motosikal berkaki empat Kawasaki Corleo dijangka akan memasuki fasa pembangunan sebelum dijual secara rasmi pada tahun 2035.

Untuk menjadikan projek Corleo ini lebih sempurna, Kawasaki merancang untuk membangunkan program simulasi tunggangan kenderaan mobiliti empat kaki yang dijangka siap menjelang 2027.

Kesemua data yang dikumpul daripada program simulasi itu – termasuk data pergerakan dan model 3D – boleh diaplikasikan untuk industri permainan (gaming) dan juga e-sports.

Kawasaki Corleo merupakan sebuah konsep robot atau kenderaan mobiliti peribadi yang menggabungkan keupayaan motosikal dan kuda yang membolehkan manusia sampai ke lokasi yang biasanya sukar dicapai dengan berjalan kaki atau menunggang motosikal.

Pergerakan kaki hadapan dan belakang robot ini adalah hampir sama dengan mekanisme pergerakan binatang berkaki empat, malah penunggang boleh mengekalkan postur yang menegak ketika sedang mendaki cerun.

Penunggang juga boleh mengawal pergerakan robot ini menerusi agihan berat yang akan dikesan oleh tempat pemijak kaki dan bar hendal.

Struktur tapak pula diperbuat daripada bahan getah untuk menyerap segala ketidakrataan permukaan dan juga mempunyai ciri anti-gelincir supaya dapat digunakan atas pelbagai jenis bentuk muka bumi.

Kawasaki Corleo dikuasakan oleh enjin hidrogen 150 cc di mana bekalan hidrogen diperoleh daripada tong kecil yang dimuatkan pada bahagian belakang.

Ia juga turut mempunyai panel instrumen yang dapat memaparkan informasi penting seperti kapasiti hidrogen, navigasi, kedudukan titik tengah graviti dan bermacam-macam lagi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here