Utama Berita Automotif Perodua sumbang sembilan kenderaan pacuan empat roda kepada Polis Selangor

Perodua sumbang sembilan kenderaan pacuan empat roda kepada Polis Selangor

4

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyumbangkan sembilan kenderaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat itu.

Sumbangan itu terdiri daripada tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz yang diserahkan untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Majlis penyerahan rasmi dilakukan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dalam satu majlis yang berlangsung di IPD Hulu Selangor.

Shazeli dalam ucapannya berkata, kesemua kenderaan tersebut akan ditempatkan di IPD KLIA dan IPD Hulu Selangor bagi memperkasa operasi kepolisan dan usaha memelihara ketenteraman awam di negeri Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Perodua atas jalinan kerjasama strategik antara PDRM dan sektor korporat dalam memperkukuh aspek keselamatan awam.

“Kerjasama seperti ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.

“Aset yang diterima ini adalah satu amanah yang akan kami urus dengan penuh integriti dan berhemah mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan memastikan penyelenggaraan kenderaan berkenaan dilaksanakan secara sempurna bagi menjamin jangka hayat serta penggunaan aset secara optimum.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here