Utama Berita Automotif Leapmotor B03 diperkenal di Eropah, jarak 389km, potensi masuk Malaysia?

Leapmotor B03 diperkenal di Eropah, jarak 389km, potensi masuk Malaysia?

7

Leapmotor memperkenalkan B03, hatchback elektrik segmen-B di Eropah yang menggabungkan reka bentuk moden, teknologi pintar dan ruang kabin praktikal untuk kegunaan harian.

B03 menggunakan platform Compact Electric Platform dan model kedua yang dibina menggunakan platform tersebut selepas B03X.

B03 turut menggunakan teknologi Cell-to-Chassis 2.0 Plus yang menyepadukan bateri ke dalam struktur badan kenderaan.

Menurut Leapmotor, pendekatan ini membolehkan penggunaan ruang yang lebih cekap, selain meningkatkan kekakuan struktur badan.

B03 tampil lebih ringkas dan rendah berbanding B03X yang lengkap dengan pendakap badan sebagai sebuah SUV segmen B.

Sementara itu, Stellantis mengesahkan B03X bakal memasuki pasaran tempatan pada setengah tahun pertama 2027 dan dipasang di Gurun, Kedah.

Setakat ini tiada pengesahan sama ada B03 juga akan dipasarkan di dalam negara.

Leapmotor A10 (B03X) China

Reka Bentuk dan Ukuran

Reka bentuk luaran B03 menampilkan garisan badan yang kemas, bumbung dua tona, lampu utama LED nipis dengan tiga segmen dan lampu belakang dengan grafik tersendiri.

Leapmotor B03 mempunyai panjang 4,175mm, lebar 1,790mm, tinggi 1,550mm dan jarak roda 2,605mm.

Suspensi dan Kawalan

B03 menggunakan suspensi hadapan bebas MacPherson dan suspensi belakang jenis rasuk kilasan.

Model pacuan roda hadapan ini mempunyai radius pusingan 9.8 meter, yang membantu pergerakan di kawasan bandar.

B03 turut dilengkapi Leapmotor Integrated Motion Control (LMC), iaitu sistem kawalan casis yang menguruskan tingkah laku dinamik kenderaan.

Sistem ini direka untuk mengesan kehilangan cengkaman dan membantu menstabilkan kenderaan dalam tempoh 200 milisaat.

Motor Elektrik dan Prestasi

Leapmotor B03 dikuasakan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan spesifikasi berikut:

  • Kuasa maksimum: 194hp
  • Tork maksimum: 200Nm
  • Pecutan 0-100km/j: 7.6 saat
  • Kelajuan maksimum: 163km/j
  • Kapasiti bateri: 53kWj
  • Jarak gerak: Sehingga 389km mengikut piawaian WLTP

Motor elektrik menggunakan sistem penyejukan minyak untuk membantu mengekalkan suhu operasi, termasuk ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Unit pemacu elektrik tersebut mempunyai berat 60kg, manakala reka bentuk bersepadu membantu mengurangkan berat kenderaan lebih 20kg.

Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan, iaitu Comfort, Standard dan Sport.

Setiap mod menawarkan tetapan berbeza untuk pecutan, penjanaan semula tenaga dan tindak balas stereng.

Pengecasan dan Fungsi V2L

Bateri jenis litium ferum fosfat (LFP) berkapasiti 53kWj menyokong pengecasan pantas DC sehingga 133kW.

  • Pengecasan DC 10-80 peratus: 21 minit
  • Pengecasan DC 30-80 peratus: 16 minit
  • Pengecasan AC 0-100 peratus: Kira-kira 7 jam 15 minit menggunakan pengecas 7.4kW

B03 turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output 230V, membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik.

Sistem pam haba juga disediakan sebagai kelengkapan standard untuk memanaskan kabin dengan lebih cekap menggunakan tenaga.

Dalaman dan Sistem Maklumat Hiburan

Bahagian dalaman B03 menampilkan skrin utama berukuran 14.6 inci yang dipadankan dengan paparan instrumen digital 8.8 inci.

Sistem maklumat hiburan LEAP OS 4.0 Plus menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8155 dan menawarkan antara muka grafik 3D.

Sistem ini turut menyokong paparan dua aplikasi serentak serta kawalan suara semula jadi berasaskan kecerdasan buatan.

Ciri-ciri dalaman

  • 30 ruang penyimpanan untuk barangan harian.
  • Lampu suasana pelbagai warna yang boleh diselaraskan dengan muzik.
  • Kerusi hadapan dengan fungsi pemanas serta stereng berpemanas.
  • Kerusi pemandu larasan elektrik enam arah.
  • Kemasan sintetik seperti kulit yang diperakui OEKO-TEX®.
  • Kawalan penyaman udara automatik sebagai kelengkapan standard.

Susunan Tempat Duduk dan Ruang Kargo

Leapmotor menggunakan konsep tempat duduk modular LeapFlex untuk memberikan lebih banyak pilihan penyimpanan.

Kerusi penumpang hadapan boleh dilipat rata bagi membawa barangan bersaiz besar, manakala penyandar kerusi pemandu boleh direbahkan sehingga 149 darjah.

Kusyen kerusi belakang boleh diangkat ke atas untuk menyediakan ruang menegak tambahan setinggi 578mm bagi membawa barangan tinggi seperti basikal.

Penyandar kerusi belakang juga boleh dilipat rata dengan lantai ruang kargo.

Kapasiti ruang bagasi adalah seperti berikut:

  • 405 liter: Dengan tempat duduk belakang digunakan.
  • 1,305 liter: Dengan tempat duduk belakang dilipat.
  • 2.47 meter: Panjang barangan yang boleh dimuatkan apabila tempat duduk belakang dilipat dan lantai kargo berada pada kedudukan atas.
  • 90 liter: Ruang simpanan tambahan Leap Box di bawah lantai bagasi.

Lantai kargo dua aras membolehkan pengguna mengubah susunan ruang penyimpanan mengikut keperluan.

Panel lantai bagasi boleh ditanggalkan dan disimpan untuk menyediakan ruang tambahan yang boleh memuatkan sehingga lima beg kabin.

Sistem Bantuan Pemandu

B03 dilengkapi 21 sistem bantuan pemandu yang menyokong pemanduan separa autonomi Tahap 2.

Sistem ini menggunakan 14 sensor dan kamera untuk mengesan keadaan di sekeliling kenderaan.

Antara ciri yang disenaraikan ialah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC).
  • Kawalan Pengekalan Lorong (LKA).
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC).
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW).
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW).
  • Amaran Pembukaan Pintu (DOW).
  • Amaran Kenderaan Hadapan Mula Bergerak (FVDW).
  • Bantuan Pertukaran Lorong Automatik (ALC).
  • Brek Lintasan Belakang (RCTB).
  • Bantuan Pengecaman Had Laju (ISA).
  • Sistem Amaran Keletihan dan Tumpuan Pemandu (DDAW).

Setiap B03 dilengkapi tujuh beg udara termasuk beg udara tengah, tali pinggang keledar yang lebih canggih dan sistem buka kunci pintu automatik ketika berlaku pelanggaran.

Ciri Sambungan dan Kemudahan Tambahan

Pengguna boleh mengakses beberapa fungsi kenderaan melalui aplikasi Leapmotor.

Di antaranya kawalan penyaman udara dari jauh, semakan status kenderaan, penguncian pintu, penjadualan pengecasan bateri dan navigasi.

Fungsi lain termasuk pemanasan awal bateri, kawalan tingkap elektrik, pembukaan dan penutupan pintu belakang elektrik serta kawalan pemanas tempat duduk dan stereng.

B03 turut menawarkan beberapa mod penggunaan khusus:

  • Guard Mode: Penyaman udara terus beroperasi untuk tempoh singkat selepas kenderaan dikunci bagi membantu mengekalkan keadaan kabin untuk penumpang atau haiwan peliharaan yang masih berada di dalam.
  • Camping Mode: Penyaman udara boleh terus beroperasi, manakala tingkap boleh ditutup secara automatik apabila hujan dikesan.
  • Cleaning Mode: Mengubah tetapan kenderaan untuk memudahkan kerja pembersihan, termasuk mematikan penguncian automatik ketika pengguna meninggalkan kenderaan.
  • Demo Mode: Membolehkan pengguna meneroka fungsi kenderaan ketika berada dalam keadaan pegun.

Pilihan Warna dan Pasaran

Untuk pasaran UK, Leapmotor B03 akan ditawarkan dengan satu varian yang mempunyai kelengkapan standard menyeluruh.

Antara kelengkapan standard ialah rim aloi 17 inci, kamera parkir 360 darjah, lampu utama dan belakang LED automatik.

Lagi ciri standard seperti pengelap cermin automatik serta cermin sisi elektrik dengan fungsi pemanas dan lipatan.

Lima pilihan warna luaran yang ditawarkan ialah Light White, Sunstone Orange, Seaweed Green, Galaxy Silver dan Sandstone.

Bahagian dalaman menggunakan tema Currant Black sebagai standard, manakala warna kelabu Ivory Mist ditawarkan tanpa kos tambahan.

Leapmotor B03 dijadualkan mula dijual di UK pada awal 2027. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here