Anda perlu tahu perbezaan enjin boxer dan flat

7649

Anda kaki kereta, dan anda tahu apa anda bualkan di kedai kopi dan semasa TT. Anda juga boleh tergelak jika kawan anda kata “enjin flat itu enjin boxer lah..”.

Ya, enjin boxer dan flat itu tidak sama. Semua enjin boxer berbentuk flat (rata), tetapi bukan semua enjin flat itu menggunakan konfigurasi boxer.

Pening? Tak mengapa. Biar tak tahu daripada buat-buat tahu. Pertamanya, kita telitikan kedua-duanya.



Enjin flat

Imej: Engine Builder Magazine

Tidak seperti enjin sebaris atau V, enjin flat mempunyai susunan silinder terbentang rata, iaitu dua baris silinder yang bergerak secara mendatar dan bukan menegak seperti enjin 4-silinder sebaris dalam Myvi.

Gambar ini menunjukkan enjin flat-6 atau 6-silinder rata dari Porsche 911. Dalam erti kata lain, enjin flat adalah ibarat enjin V, cuma bukaannya miringnya (cylinder bank) bersudut 180-darjah.

Enjin boxer

Enjin jenis ini juga mempunyai susunan hampir sama dengan flat jika dilihat dari luar. Tetapi perbezaan utama dapat dilihat dari dalam dan semasa semua omboh bergerak.  

Dalam gambar di bawah, enjin flat di sebelah kiri menunjukkan pergerakan omboh kiri dan kanan dalam arah yang sama. Jika omboh kiri bergerak ke kiri (menjauhi aci engkol atau crank shaft), omboh kanan juga akan ke kiri (menghampiri aci engkol).

Imej; Jalopnik

Akan tetapi bagi enjin boxer di belah kanan gambar, omboh kiri dan kanan bergerak secara berlawanan arah. Bila omboh kiri bergerak ke kiri menjauhi aci engkol, omboh kanan bergerak ke kanan dan menjauhi aci engkol.

Apabila omboh kiri dan kanan menghampiri aci engkol, ia membentuk satu gerakan seperti tinju, atau seperti namanya, boxer.

Perbezaan ini juga disebabkan jumlah pin pada aci engkol yang berbeza. Omboh kiri dan kanan enjin flat berkongsi satu pin sahaja, manakala omboh kiri dan kanan enjin boxer menggunakan dua pin berbeza.

Mengapa perlu enjin flat/boxer?

Pengeluar mencipta jenis flat atau boxer kerana bentangan rata menjadikannya mempunyai pusat gravity yang rendah. Segala berat pada komponen enjin boleh disusun di bahagian tepi atau luar silinder dan hanya komponen tertentu sahaja di bahagian atas.

Porsche 911 (992) 2019 yang dilancarkan baru-baru ini.

Tidak hairanlah kereta-kereta seperti Subaru Impreza, Toyota GT-86, Subaru BRZ dan Porsche 911 mempunyai pengendalian mantap dan lincah. Tambahan pula Porsche Cayman dan Boxster meletakkan enjin mereka di tengah (MR), dan ini menambah lagi kestabilan kenderaan menukar arah di selekoh.

Enjin jenis flat atau boxer juga dikatakan mempunyai tahap gegaran lebih rendah berbanding enjin barisan tegak atau V. 

Jadi, sekarang anda sudah tahu perbezaan dan fungsi asas kedua-dua jenis enjin yang unik dan hampir sama ini.  

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here