Honda City generasi baharu, memang betul hadir enjin turbo dengan tiga ‘dapur’

3472

Awal tahun lalu, kami ada melaporkan bahawa Honda City generasi baharu akan mendapat enjin 3-silinder 1.0-liter turbo. Dan ya, Honda City 2020 dilancarkan di Thailand semalam sememangya dipacu enjin tiga ‘dapur’ tersebut.

Enjin ini ialah unit DOHC (Double Over Head Cam) dan bukan SOHC seperti sebelum ini. Ia menjana 122PS pada 5,500rpm dan 173Nm tork pada 2,000-4,500rpm.



Enjin

Honda Thailand berkata output kuasa ini adalah bersamaan enjin 1.5-liter naturally-aspirated dan tork pula bersamaan enjin 1.8-liter. Enjin Honda City sekarang menghasilkan 120PS dan 145Nm.

Untuk transmisi, Honda City 2020 masih menggunakan unit CVT Earth Dreams yang sama. Kecekapan bahan api didakwa pada 23.8km/liter. Ini dah lebih jimat dari Perodua Bezza!

Dari segi gaya luaran, tiada perubahan begitu besar, tetapi ia telah diperkemaskan. Terdapat lampu LED depan yang besar, gril menyerlah dengan bar krom memanjang hingga ke lampu, dan lampu belakang LED yang kemas. Ala-ala BMW.

Honda City 2020 ini lebih panjang dari sekarang, penambahan kira-kira 113mm. Ia juga lebih lebar, tetapi sedikit rendah. Jarak rodanya (wheelbase) berkurang, tetapi menurut Honda, ruang dalaman adalah lebih luas.

Terdapat juga model RS dengan bampar depan dan belakang lain, rim 16-inci, dan warna unik. Ini belum disahkan untuk Malaysia, tapi kami jangkakan versi RS mungkin dibawa masuk beberapa bulan selepas pelancaran rasmi City ini.

Di bahagian dalam, gayanya agak sama dengan Jazz yang dilancar di Jepun baru-baru ini. Ini termasuklah corong pendingin hawa menegak, konsol pendingin hawa melintang dan elemen kulit baharu di papan pemuka. Untuk RS, ia mendapat tempat duduk balutan suede.

City 2020 juga kini dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto untuk sistem hiburannya.

Ciri keselamatan

Dengan semua penambahan dan pembaharuan, ciri keselamatan agak mengecewakan. Enam beg udara dan ESP (Electronic Stability Program) adalah bagus, tetapi jika dibandingkan dengan Nissan Almera dan Mitsubishi Attrage di Thailand yang didatangkan dengan AEB (Autonomous Emergency Braking), City ini sedikit ketinggalan.

Di Thailand, ia dijual pada harga 579,500 Baht (RM80,035) hingga 665,000 Baht (RM91,848). Tetapi untuk pasaran Malaysia nanti, jangkakan harganya tidak jauh berbeza dari sekarang, iaitu antara RM73k hingga RM90k.

Apa pendapat anda dengan Honda City 2020 ini? Teruja dengan enjin turbo baharu?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here