Video: Anda wajib tonton McLaren Speedtail berlumba dengan jet pejuang F-35 Lightning ini!

3467

Setelah menyiarkan video teaser pada Februari lepas, kali ini Topgear telah menerbitkan video penuh dalam edisi kereta vs kenderaan lain mereka yang terkini. Dalam edisi kali ini, media Britain itu menggandingkan McLaren Speedtail untuk berentap dengan pesawat pejuang canggih generasi kelima, F-35 Lightning II.

McLaren Speedtail merupakan model terpantas pernah dihasilkan oleh firma Britain itu, manakala F-35 Lightning II mempunyai keupayaan VTOL (Vertical Take Off and Landing) atau berlepas dan mendarat secara menegak.



McLaren Speedtail pada hujung tahun lepas telah mencatat kelajuan maksima 403km/j di sebuah litar di Amerika Syarikat. Ia dijana enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang dikongsi dengan model-model McLaren lain, tetapi unit pada Speedtail menghasilkan 1,055hp dan 1,150Nm tork.

Lihat sahaja bentuknya yang seperti titisan air atau keretapi peluru (bullet train) itu sudah pasti kita boleh jangkakan kemampuannya mencapai kelajuan tinggi.

Sumber: Defence Blog

Pesawat F-35 Lightning II pula ialah pesawat pejuang pelbagai fungsi dan selain mampu VTOL, ia juga sebuah pesawat stealth moden yang sukar dikesan oleh radar.

Dibangunkan oleh firma Amerika, Lockheed Martin, F-35 dikuasakan oleh enjin Pratt & Whitney F135 yang menghasilkan 40,000 pound (18,144kg) tujahan.

F-35 mampu mencapai kelajuan maksima 1.6 Mach atau 2,000km/j dan mendaki ke ketinggian maksima 50,000 kaki (15,240meter).

Dalam perlumbaan ini, sudah tentu kereta akan mendahului dengan pecutan 0-100 di bawah 3 saat manakala jet pejuang mengambil masa untuk enjinnya mencapai tujahan maksima afterburner dan menolak badannya yang berat ke depan.

Jet pejuang akan mula mengejar dan memotong kereta di kelajuan lebih tinggi.

Tidak seperti perlumbaan Bugatti Veyron vs. jet Eurofighter Typhoon pada episod Top Gear siri 10 pada 2007, perlumbaan kali ini menggunakan format sedikit berbeza.

Jika dulu Veyron perlu memecut jarak 1 batu (kira-kira 1.6km) ke hujung landasan sebelum berpatah balik, dan Typhoon memecut 1 batu menegak dan turun semula ke garisan penamat, perlumbaan kali ini menggunakan landasan berbentuk segi tiga.

Kedua-dua McLaren Speedtail dan F-35 perlu ke hujung landasan, belok ke kiri hingga hujung, belok ke kiri lagi, dan di selekoh akhir dimana McLaren Speedtail membelok ke kiri, jet F-35 itu akan membelok ke kanan mengambil pusingan hampir 270-darjah.

Ini kerana walaupun jarak lebih jauh, pusingan ini membolehkan jet pejuang F-35 itu memecut lebih laju untuk laluan lurus akhir hingga ke garisan penamat. Jet pejuang tidak boleh mengambil selekoh setajam kereta kerana ia akan mengurangkan kelajuan dan momentumnya.

Sama-sama kita tonton video mengujakan ini. Yang mana anda rasa akan menang perlumbaan ini; McLaren Speedtail atau F-35 Lightning II?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here