Selamatkan Mazda RX-7 yang hampir tenggelam dalam banjir, inilah semangat petrolhead sebenar!

5973

Sememangnya tahun 2020 agak sukar dengan pandemik Covid-19 yang melanda satu dunia, tapi pastinya masih ada beberapa perkara yang mampu memberikan senyuman dan kelegaan buat kita.

Salah satunya ialah sebuah Mazda RX-7 yang diselamatkan oleh seorang wira dari ditenggelami banjir di Mississippi, Amerika Syarikat.



Austin Owens dari Louisiana ternampak RX-7 FD yang rare itu di sebuah garaj parkir di Biloxi Golden Nugget Casino dan sedar bahawa ia akan ditenggelami banjir bila-bila masa sahaja.

Walaupun tidak mengetahui siapa pemilik kereta itu ataupun sama ada ia akan diselamatkan atau tidak, Owens tetap nekad menyelamatkannya. Jadi, dia terus bertindak.

Owens terus mengambil blok batu-bata dan jek Pittsburgh di belakang Ford Bronco miliknya untuk menyelamatkan kereta lagenda itu. Di saat dia siap mengangkat dan meletakkan tayar-tayar kereta itu di atas bata, RX-7 itu selamat dari dinaiki air.

Seperti dilihat pada gambar-gambar, RX-7 itu bukan satu-satunya kereta di garaj itu. Terdapat juga sebuah BMW 7-Series perak dan Ferrari 360 hitam diparkir berdekatan.

Sambil menyelamatkan jentera berenjin rotary itu, Owens turut membantu pemilik Ferrari menaikkan keretanya ke atas treler. Malangnya takdir BMW itu tidak diketahui, mungkin tenggelam sedikit.

Ownes berkongsi usahanya itu di laman Group Forza Horizon 4 di Facebook. Rata-rata ahli dalam Group itu memuji tindakan dan usaha Owens.

Apabila perkara itu tersebar di Group Biloxi Cars and Coffee, diketahui bahawa pemilik RX-7 itu ialah penduduk di kawasan itu iaitu seorang peniaga kedai serbaneka.

Kemudian, diketahui juga bahawa RX-7 itu baru sahaja dibaiki enjin rotary-nya, dan menurut pemilik sebuah kedai kustom, ia juga baru dicat semula sebulan lepas.

Pemilik kereta itu kemudian tampil di Group Facebook lain dimana dia memberitahu kereta itu diparkir di kasino itu kerana terdapat kebocoran di but belakang. Dia menyangka parkir itu akan selamat dari banjir.

Ownes pula menghargai semua pujian diberikan padanya, tetapi dia tetap merendah diri dengan perkara itu.

Tindakan Ownes sememangnya patut dipuji dan melambangkan semangat setiakawan sesama petrolhead!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here