Proton Saga di UK ini ialah edisi Black Knight terakhir di atas muka bumi!

9407

Proton pernah mengeluarkan Proton Saga edisi Black Knight untuk pasaran United Kingdom (UK) dengan hanya 201 unit pernah dihasilkan.

Kini, satu-satunya model Black Knight itu masih cantik, terjaga, dan boleh dipandu! Ya, ia satu-satunya Proton Saga Black Knight yang tinggal di UK, bermakna ia juga model terakhir di muka bumi ini.



Pemiliknya, Jon Coupland sebenarnya seorang peminat Proton Saga generasi pertama. Model Black Knight ini juga merupakan Saga kedua miliknya. Saga pertama milik Jon telah kami tampilkan pada Februari lepas, iaitu model 1.5 SE LE yang juga model terakhir di atas muka bumi ini!

Menurut Jon, dia sukakan Proton Saga kerana ia jarang dijumpai di UK, serta sukakan kisah serta sejarah di sebalik kereta nasional pertama Malaysia ini.

Tidak seperti Proton Saga Knight di Malaysia yang merupakan model Aeroback, Black Knight di UK diasaskan dari model sedan.

Ia hampir sama dengan Proton Saga 1.5GL biasa, tetapi Black Knight mendapat aksesori tambahan iaitu penutup rim unik, pelekat badan khas, dan spoiler! Dan ironinya, warna badan Black Knight bukanlah hitam, tetapi lebih kepada gunmetal grey.

Fakta menarik: syarikat pembekal pelekat dan spoilernya bernama Silver Knight.

Lain dari itu, ia sama sahaja dengan Saga 1.5GL, termasuklah enjin 1.5-liter 4G15 dan transmisi manual 5-kelajuan.

Kereta milik Jon baru-baru ini telah dipandu-uji oleh Steph dari IDRIVECLASSIC, iaitu saluran Youtube berkenaan kereta-kereta klasik di UK.

Menurut Steph, Jon berkongsi bahawa Saga Black Knight ini didaftarkan pada 1989 dan tersimpan di garaj pada 1993 hingga tahun 2000-an. Patutlah keadaannya cantik dan terpelihara. Clean dan pristine habis!

Saga ini antara model terawal Proton di UK yang dulunya dijual oleh Newpark Motors di Crewe. Black Knight ini mempunyai perbatuan hanya kira-kira 13,000 batu (kira-kira 12,900km). Memang tak banyak berjalan!

Menurut Steph pula yang membuat pandu uji ringkas dan komen mengenai Saga ini, Black Knight kelihatan masih cantik dan terjaga. Bahagian dalam hampir sama dengan Mitsubishi Colt tahun 1980-an, tetapi bahan plastik Saga ini nampak jauh lebih baik kualitinya.

Kotak gear juga masih sangat lancar dan hampir sama seperti kereta moden. Dan enjinnya pula sangat senyap! Pastikan anda dengar bunyinya pada minit 15:38.

Tahniah dan syabas kepada Jon kerana memiliki warisan sejarah Proton. Kami di Motoqar juga mengucapkan terima kasih kerana berkongsi kisah ini dengan kami, dan mewakili rakyat Malaysia, kami sangat menghargai usaha anda mengumpul dan menjaga kereta ini.

Jika anda para pembaca ingin berhubung dengan Jon, bolehlah ke profil Facebook beliau di sini. Anda juga dialu-alukan untuk berkongsi sumber alat ganti tulen jika anda tahu.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here