Baru nak tekan Ferrari 812, hilang kawalan pula! [+video]

1548

Inilah yang terjadi bila keupayaan kereta melebihi kemahiran pemandunya. Video ini pendek sahaja, tetapi ia menunjukkan sebuah Ferrari 812 Superfast cuba menghamburkan 789hp kuasa dari enjin 6.3-liter V12nya dan hilang kawalan lalu menghentam benteng tepi jalan.

Video ini juga satu contoh jelas kenapa kita tidak perlu cuba tunjuk hebat di jalanraya awam, sebaliknya ‘simpan’ semuanya untuk dipraktikkan di litar.

Dalam kejadian yang berlaku di London, United Kingdom ini, pemandu itu juga nyaris melanggar seorang penunggang basikal, hanya beberapa saat memisahkan mereka.



Video berdurasi 40 saat ini bermula apabila Ferrari itu dipandu perlahan sebelum berhenti di sebuah lampu isyarat. Beberapa ‘beep’ kedengaran sebelum 812 Superfast itu membelok ke Lambeth Bridge di tengah ibu negara UK itu, melepasi beberapa penunggang basikal sebelum menekan pedal minyak.

Ternyata enjin 6.3-liter V12, output 789hp dan pacuan roda-belakang (RWD) bukanlah resepi yang baik untuk permukaan jalan lembap. Roda belakang mula hilang cengkaman, pemandu ini cuba membetulkan, tetapi sedikit ‘balasan’ stereng ke kanan membuatkan belakang kereta ini melibas ke kiri dan kereta mula oversteer.

Ini membuatkan kereta itu berpusing ke kanan memasuki lorong bertentangan, nyaris melanggar seorang penunggang basikal lain lalu terus menghentam benteng tepi jalan dan pagar.

Mujurlah penunggang basikal itu tidak menjadi mangsa, seperti dilaporkan oleh The Sun. Pemandu Ferrari ini juga tidak mengalamai sebarang kecederaan kerana dia memakai tali pinggang keselamatan dan beg udara juga meletup.

Video berakhir dengan pemandu mencabut kamera dari kepalanya dan membalingnya ke tempat duduk penumpang sebelum membuka tali pinggang keselamatannya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here