PKP: UMW Toyota tangguh operasi pengilangan dan jualan

120

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh pada 1 Jun 2021 di seluruh negara, UMW Toyota Motor telah menggantungkan sementara operasi pengilangan serta penjualannya.

“Beberapa minggu ini adalah tempoh mencabar untuk kita semua. Ketika menghadapi waktu sukar ini, kami di Toyota dan Lexus tetap bersama anda semua dalam solidariti untuk mengekang pandemic,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting. Dalam masa sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan menyediakan sokongan.

“Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian,” tambahnya.

Ravindran K. turut mengulas, “Tak lupa juga, semua kenderaan yang dibeli daripada UMW Toyota Motor atau pengedar sah kami dengan jaminan sedia ada yang sah serta akan tamat di dalam tempoh PKP ini, anda akan menikmati lanjutan tempoh berkenaan selama 30 hari, yang akan dikira dari hari terakhir PKP.”

Syarikat itu baru-baru ini mengumumkan bahawa jualan kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia terus menunjukkan corak peningkatan, dengan keseluruhannya mencatatkan sebanyak 7,595 unit terjual sepanjang Mei 2021, mewakili peningkatan 120 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jumlah berkenaan dipacu terutamanya oleh model-model seperti Vios yang menyumbang 32 peratus daripada jumlah jualan, diikuti Yaris (25 peratus) dan Hilux (21 peratus) bagi jualan bulan Mei 2021.

Pertumbuhan yang dicatatkan itu menjadi petunjuk jelas keyakinan pembelian oleh pelanggan, dan mereka juga berlumba untuk memanfaatkan penjimatan tambahan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini telahpun di lanjutkan hingga 31 Disember 2021.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah dan campur tangan bukan sahaja untuk melindungi Malaysia daripada ancaman pandemik, tetapi juga di dalam memperkenalkan dasar kewangan serta industri untuk memastikan pandemik ini memberi kesan yang tidak terlalu parah terhadap ekonomi,” kata Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.  

“Ini termasuklah lanjutan SST yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli dalam kalangan pelanggan,” lanjutnya.

Takeyama menambah bahawa kesan pandemik ini tidak boleh dijangka dan sukar diramal, tetapi pengenalan beberapa model baharu sepanjang tahun ini yang digandingkan dengan insentif SST untuk pelanggan telah membantu industri automotif tempatan menghadapi badai ini dalam kedudukan yang kukuh.

Sementara itu Ravindran K. turut berkata, UMW akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada semua pelanggan dan terus memperkenalkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk membantu memberikan penjimatan lebih banyak dalam keadaan seperti sekarang.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here