Juara enam kali WSBK, Jonathan Rea baru ambil lesen motor

2092

Rata-rata pelumba kejohanan dunia tidak memiliki lesen menunggang sah di jalan raya dan lewat mengambil lesen motor kerana komitmen di samping menghabiskan masa rehat dengan latihan. 

Bahkan menunggang di litar dan jalan raya awam adalah dua situasi berbeza. Misalnya Jorge Lorenzo hanya mendapatkan lesen pada usia 23 tahun bahkan sehingga awal tahun lalu dia tidak memiliki motor kerana bimbang menunggang laju di jalan raya awam.

Jonathan Rea



Sementara, pelumba MotoGP, Miguel Oliviera dan Danilo Petrucci baru mendapatkan lesen motor manakala Jack Miller dan Fabio Quartararo masih tidak mempunyai lesen. 

Terbaharu, pelumba Kejohanan Dunia Superbike (WSBK) pasukan Kawasaki, Jonathan Rea dalam proses mendapatkan lesen menunggang. Juara dunia enam kali itu berkongsi pengalaman di akaun YouTube miliknya.

Sebenarnya itu bukan pertama kali, Rea pernah mendaftar beberapa tahun lalu namun dia gagal ujian teori ketika tinggal di Isle Of Man TT.

Jonathan Rea

Bermula perintah berkurung tahun lalu dia mengisi semula borang untuk menjalani ujian teori di Belfast, Northern Ireland namun pusat ujian pula tutup. Apabila perintah berkurung mulai sedikit longgar, Rea akhirnya mengikuti ujian teori dan lulus.

Menerusi video durasi 8:45 itu, Rea menjelaskan ketika tempoh berkurung, dia berasakan perlu keluar menunggang kerana cuaca yang bagus.  

“Mulanya aku tidak percaya perkara perlu dilakukan iaitu pertama ujian teori setelah lulus perlu menjalani kursus latihan (CBT) menunggang motor.

“Ya,mungkin terdengar sedikit bodoh tapi sebenarnya bagi aku agak susah kerana di jalan raya kita perlu perhatikan kereta dan pejalan kaki serta lain-lain tak sama menunggang di litar,” katanya. 

 

Pada sesi CBT (Latihan Asas Wajib) itu Rea perlu mempelajari latihan ujian litar dan jalan raya serta pemeriksaan pandangan mata. 

Ketika melakukan latihan seperti slalom dan berhenti kecemasan Rea mengakui agak canggung kerana tidak boleh melebihi kelajuan 96kmj selain kebiasaannya dia menggunakan pemanas tayar sebelum berlumba dan pada sesi latihan motor menggunakan tayar basah.

“Aku perlukan masa untuk menyesuaikan diri tambahan perlu menunggang pada kelajuan 96kmj dan perkara paling sukar bagi aku adalah membiasakan diri untuk memerhatikan titik buta; melihat cermin kiri dan kanan selain bahu kiri dan kanan sebelum bergerak,” katanya.

Ketika sesi CBT tersebut Rea menunggang jentera Kawasaki Z650. Jelasnya borang CBT sudah ditandatangani dan langkah seterusnya mendaftar untuk ujian lesen penuh dan dia yakin 100 peratus untuk mendapatkan lesen motor. 

Kursus CBT merupakan kelas latihan yang memastikan calon dapat menunggang dengan selamat di jalan raya dan sesi ini bukan ujian penentuan lulus atau gagal. 

Selepas melengkapkan kursus latihan CBT, pelatih boleh menunggang moped jika berusia 16 tahun atau motosikal sehingga 125cc (14hp) bagi usia 17 tahun ke atas serta perlu menampal plat L. 

Selepas itu, calon perlu mengambil ujian lesen penuh dan lulus dalam masa 2 tahun atau perlu mengambil latihan CBT sekali lagi atau berhenti menunggang.

BACA>>Idea kreatif! Penutup lubang pada jalan raya di Jepun dihiasi karakter anime bercahaya

BACA>>Usia bukan penghalang, pelumba rali WRC ini berusia 91 tahun!

VIDEO

 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here