‘Geng Baby’ ragut dan samun tumpas

363

Kumpulan penjenayah ragut dan samun yang menyasarkan warga emas, tumpas dengan tertangkapnya tujuh suspek termasuk dua wanita.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Baby’ itu ditahan sekitar Kuching dan Padawan dalam operasi yang dijalankan pada 6 Jun hingga 10 Jun lalu.



Beliau berkata, dengan tertangkapnya ahli ‘Geng Baby’ itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan 16 kes termasuk 13 kes samun dan ragut, dua kes curi dalam bangunan dan satu kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku di Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

“Kumpulan itu dikenali sebagai ‘Geng Baby’ kerana diketuai oleh seorang lelaki berusia 23 tahun yang nama panggilannya ‘Baby’.

“Mereka dikenal pasti melakukan jenayah ragut dan samun sekurang-kurang terhadap 13 mangsa yang semuanya warga emas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Mohd Azman berkata, kumpulan itu yang memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan samun, curi dalam bangunan, curi kenderaan dan dadah aktif sejak tiga bulan lalu.

“Mereka biasanya menghampiri warga emas dan mengacu senjata tajam kepada mangsa yang berjalan sendirian pada waktu pagi.

“Mangsa rata-ratanya warga emas yang hendak ke pasar dan penjenayah merampas barang milik mangsa seperti wang tunai dan telefon bimbit yang semua membabitkan kerugian kira-kira RM42,000,” katanya.

Mohd Azman berkata, polis turut merampas sebuah motosikal curi, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, empat kad bank dan 11 senjata tajam daripada suspek.

Semua suspek yang berusia antara 23 hingga 30 tahun itu ditahan reman sehingga 17 Jun ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Hasil saringan air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here