Tidak memiliki lesen fizikal, polis Thailand saman dua pemuda Malaysia

806

Dua pemuda warga tempatan kesal apabila disaman oleh pihak berkuasa Thailand gara-gara tidak memiliki lesen fizikal.

Bagaimanapun, mereka menunjukkan lesen memandu digital kepada anggota polis negara jiran berkenaan namun tetap disaman. 



Pemuda yang menggunakan akaun X dengan nama Acapkay itu berkongsi video yang menunjukkan mereka cuba menjelaskan bahawa Malaysia memulakan langkah penggunaan lesen digital bermula tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, polis Thailand tidak menerima alasan berkenaan lalu mengeluarkan saman kepada kedua-dua pemuda berkenaan.

“And lepastu kalau bawa kenderaan ke Thailand, polis sana mintak kita fizikal kad, kalau takde boleh kena saman Puas aku explain cakap malaysia dah tak pakai physical card, dia kata tak boleh! End up aku dgn Iqbal kena saman juga,” tulisnya. 

Februari lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan orang ramai tidak lagi perlu membawa lesen memandu fizikal kerana dokumen berkenaan boleh diperoleh secara dalam talian menerusi aplikasi khas. 

Kaedah pendigitalan bermula dengan pelaksanaan Lesen Kenderaan Motor Digital dan juga Lesen memandu Malaysia Persendirian Digital.

Dengan langkah ini, pengguna boleh memuat-turun aplikasi MyJPJ dan mendaftarkan diri dan kenderaan untuk simpanan dan rujukan.

Ini juga sekaligus membuatkan penggunaan pelekat cukai jalan dan juga lesen memandu fizikal tidak lagi diwajibkan kepada pengguna kereta dan motor persendirian.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya belum membuat keputusan berhubung cadangan memansuhkan lesen memandu fizikal.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here