Agong kurnia Proton X90 Flagship kepada Ketua Polis Negara dan pegawai kanan Istana Negara

151
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor berkenan mengurniakan Proton X90 kepada pegawai-pegawai berjasa dan dedikasi dalam menjalankan tugas.
 
Menerusi perkongsian akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara yang menerima SUV segmen-D tersebut adalah Ketua Polis Negara, Tan sri Razarudin Husain, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan pegawai agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.
 
Turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, Mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.
 
Proton X90 Flagship (6-kerusi) berwarna Snow White tersebut disampaikan oleh pengelola Istana Negara, Zailani Hashim.
 
“Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat.
 
“Contohnya, pada tahun 2010 Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
“Pada 2018, Baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor,” tulis perkongsian tersebut.
 
Baginda juga mengurniakan 10 unit Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pada September 2020 dan 
Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.
 
 
Proton X90 dilancarkan pada Mei tahun lalu menerusi pilihan empat varian pada harga mula RM123,800.
 
Ia menggunakan enjin 1.5 liter 3-silinder turbo dan unit penghidup generator pacuan tali sawat (BSG) yang menghasilkan kuasa 190PS dan tork 300NM. 
 

Kuasa hibrid 48V menawarkan sokongan tambahan 13PS dan 45Nm, sekaligus menjadikan ia pilihan kuasa lebih tinggi bahkan jimat bagi SUV tiga barisan kerusi.



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here