Xiaomi SU7 (2024) habis dijual dalam tempoh 24 jam, sesi pandu uji hingga 3 pagi

236

Xiaomi menerima tempahan 88,898 unit SU7 dalam tempoh 24 jam selepas pelancaran. Tempoh menunggu dijangkakan sehingga tujuh bulan. 

Menurut Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MITT), China, Xiaomi SU7 akan dipasang oleh Baic Off-road Vehicle Co di kilang Xiaomi di Beijing. Baic juga merupakan pemegang saham terbesar dalam Mercedes-Benz iaitu 9.98 peratus.



Kilang Xiaomi memulakan pembinaan pada April 2022 dan siap Jun tahun lalu. Syarikat itu memohon lesen jualan SU7 pada bulan November dan percubaan pengeluaran di kilang itu bermula pada Disember.

Pengeluaran besar-besaran SU7 telahpun bermula namun bukan dalam kapasiti penuh dan penghantaran pelanggan akan bermula pada akhir April, menurut syarikat itu.

KAPASITI PENGELUARAN TAHUN INI SEBANYAK 100,000 UNIT

Kapasiti pengeluaran tahunan kilang Xiaomi Beijing sebanyak 150,000 kenderaan bagi fasa pertama dan meningkat kepada 300,000 kenderaan dalam fasa kedua.

Memandangkan pengeluaran masih belum mencapai jumlah kapasiti, Xiaomi akan mencapai pengeluaran penuh selama lapan bulan pada tahun 2024 yang mana boleh mengeluarkan kira-kira 100,000 kenderaan.

Syarikat itu menerima kira-kira 90,000 tempahan dalam 24 jam pertama dan tidak mendedahkan kemas kini tempahan baharu sejak itu.  Namun, dalam tempoh 48 jam tentunya SU7 mencapai lebih daripada 100,000 unit tempahan.

Susulan SU7 tular di media sosial seluruh China, pusat jualan menerima pelanggan dalam jumlah yang tinggi.

Menurut pihak jualan sesi pandu uji dijadualkan sehingga jam 3 pagi pada 30 Mac.

“Mereka yang telah membayar deposit diberi keutamaan untuk memandu uji SU7,” kata pengurus pusat jualan tersebut.

Pengedar Auto Xiaomi lain berkongsi kisah yang sama di seluruh China yang mana situasi itu yang jarang berlaku di pengedar pengeluar kenderaan lama. 

Bahkan, dilaporkan scalper yang membayar deposit menjual hak pembelian dengan menaikkannya sebanyak CNY 100,000 (RM65,349) berbanding harga asal CNY 5,000 (RM3,267).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here