
Hujung minggu lalu alam maya digegarkan dengan berita ura-ura di mana Lotus dilapor mahu menutup kilang pengeluaran keretanya di United Kingdom.
Namun begitu, Lotus dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut.
“Lotus Cars akan terus beroperasi seperti biasa, dan tiada sebarang perancangan untuk menutup kilang.”
Ini merupakan satu susulan berita yang dilaporkan oleh BBC dan Financial Times di mana syarikat yang dinaungi oleh Geely itu mahu mengakhiri produksi di UK meletakkan 1,300 orang pekerja dalam risiko.
“Kami telah melabur di dalam operasi dan R&D di UK sejak enam tahun lepas. Lotus kekal komited untuk pasaran UK, serta kepada pelanggan, pekerja, pengedar, pembekal dan warisan bersejarah Britain.
“UK merupakan titik tengah jenama Lotus – rumah kepada pengeluaran kereta sports, pusat rekaan global, operasi sukan permotoran dan Lotus Engineering. Ia juga merupakan pasaran komersial terbesar kami di Eropah.
Langkah menutup fasiliti di Norfolk dilihat akan memberikan impak besar kepada industri automotif Britain yang sedang menguncup.
Ini kerana produksi kereta di sana menjunam kepada hanya 49,810 unit sahaja, angka terendah bulan Mei sejak tahun 1949.
Lotus juga kini sedang meneroka kemungkinan untuk memulakan pemasangan kenderaan di Amerika Syarikat.
Menurut laporan Automotive News, CEO-nya Feng Qingfeng menjelaskan langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan tarif tinggi yang dikenakan ke atas jenama itu.
Bagi sebuah jenama volum rendah, agak sukar untuk Lotus terus mendirikan fasiliti serba baharu.
Jadi, Lotus berkemungkinan besar akan menggunakan fasiliti Volvo di South Carolina untuk pemasangan model Emira serta model EV yang lain.
Fasiliti Ridgeville yang dibuka sejak tahun 2018 itu mempunyai kapasiti pengeluaran 150,000 unit setahun dan kini digunakan untuk memasang model seperti Polestar 3 dan EX90.
Eksport Emira dihentikan buat sementara waktu sejak April disebabkan kadar tarif yang tinggi dikenakan oleh pentadbiran Trump.
Feng mengesahkan operasi eksport akan dimulakan semula pada Ogos ini, bermula dengan model Emira (2026).
Sementara sedan elektrik Emeya dan SUV elektrik Eletre masih lagi belum boleh didapati di pasaran tersebut.