
Proton X50 menerima 5,000 unit tempahan dalam tempoh 10 hari. Ini bermakna Proton menerima tempahan seunit X50 setiap 3 minit.
Ia sekali gus mewakili 50 peratus daripada tawaran awal merangkumi rebat tunai RM1,000, kad Touch N Go edisi khas dan tawaran eksklusif GEMPAK! kepada 10,000 pelanggan pertama.
“Respon luar biasa yang kami terima untuk Proton X50 serba baharu ini jelas menunjukkan model ini begitu digemari rakyat Malaysia.
“Kami berbesar hati menerima 5,000 tempahan dalam hanya 10 hari, dan untuk meneruskan momentum menjelang minggu akhir sebelum pelancaran, kami akan mula menawarkan sesi pandu uji di semua cawangan kami bermula 19 Julai agar pelanggan dapat merasai pengalaman sebenar di jalan raya,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang.
Tambah beliau, pasukan pengeluaran di kemudahan Tanjong Malim berusaha menyediakan stok agar penyerahan kereta kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran.
“Sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 5,000 unit sedia untuk pendaftaran menjelang akhir Ogos bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan selepas membuat tempahan,” ujarnya.
Proton X50 kini menerima kemas kini menyeluruh yang menampilkan gaya serba baharu secara menyeluruh dengan ciri ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf, sistem IHU yang dipertingkatkan dengan skrin besar 14.6 inci dan buat pertama kalinya, pengecaman suara (VR) Bahasa Melayu.
Ia tersedia dengan tiga pilihan varian iaitu Executive, Premium dan Flagship serta harga rasmi SUV itu bakal diumumkan 24 Julai ini.