
Bak kata orang, mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Jika anda mahu berkongsi minat dan hobi bermotosikal (terutama jenama Ducati) dengan anak-anak yang masih kecil, usah risau kerana ada cara yang lebih selamat.
Ducati baru-baru ini bekerjasama dengan syarikat pengeluar mainan Itali Peg Perego untuk menghasilkan barisan motosikal yang lebih mampu milik berdasarkan portfolio model terkenal jenama itu.
Untuk permulaan, anda boleh dapatkan sebuah trike 6V berharga €119 (RM585) atau model bersaiz lebih besar untuk penunggang berusia dua tahun dan ke atas yang dijual pada harga €179 (RM880).
Bagi mereka yang mahukan model yang ‘sebenar’, terdapat model Multistrada (gambar utama) yang lengkap dengan perincian seperti ‘kerangka Trellis’ berwarna merah, mudguard hadapan berbentuk muncung burung, serta kotak storan yang berfungsi sepenuhnya.
Mahukan yang lebih serius?
Boleh dapatkan sebuah replika Ducati Desmosedici GP yang lengkap dengan reraup sporti, pelekat tajaan, decal perlumbaan, serta efek bunyi enjin.
Kedua-dua model dua roda itu dijual pada harga bermula €489 (RM2,404) dan boleh dipasangkan dengan roda penstabil sebagai opsyen.
Sayang sekali, kesemua model motosikal Peg Perego ini hanya tersedia untuk benua Eropah sahaja buat masa ini.