
Terdapat banyak pilihan skuter bersesaran kecil yang wujud di pasaran pada ketika ini.
Namun, jika anda mahukan sebuah skuter gaya retro pada harga yang lebih mampu milik, ini merupakan salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan – SYM Fugue 125.
Rekaan keseluruhan skuter yang retro moden ini banyak mengambil inspirasi daripada model-model Vespa.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 124.6 cc sejukan udara yang menghasilkan 10.7 hp @ 8,250 rpm dan tork 10 Nm @ 6,250 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang.
Rim pula bersaiz 12 inci yang dibaluti tayar saiz 110/70 di depan dan 120/70 di belakang.
Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah lampu LED, sistem brek cakera, ciri ABS atau CBS, port pengecasan USB, tangki bahan api sebesar 5.7 liter serta ruang storan bawah pelana sebesar 27 liter.
Tidak cukup? Usah risau kerana SYM Fugue 125 ini turut didatangkan standard dengan kotak storan di belakang.
Yang penting, anda masih boleh menikmati praktikaliti sebuah skuter moden dengan imej serba klasik pada harga yang tidak membebankan seperti mana skuter terkenal buatan Itali.

































