
Satu lagi nama ikonik dalam dunia automotif akan dilahirkan semula sebagai sebuah SUV, iaitu Ford Focus.
Menurut laporan terbaharu daripada Autocar, Ford mempunyai perancangan untuk menghidupkan semula plet nama Focus.
Sama seperti kebanyakan pelan yang dijalankan oleh mana-mana pengeluar, Focus juga akan dijelmakan sebagai sebuah SUV.
Laporan tersebut mencadangkan crossover Focus saiz pertengahan dijangka muncul pada tahun 2027, dan akan dibina di kilang Valencia, Sepanyol yang mempunyai kapasit pengeluaran 300,000 unit setahun.
Produksi bagi generasi Focus sedia ada bakal ditamatkan pada November ini apabila Ford menutup sepenuhnya kilang Saarlouis di Jerman.
SUV Focus ini dijangka akan dijual seiring dengan model Kuga (Escape) walaupun memiliki dimensi yang hampir sama, selain menawarkan pilihan rangkaian kuasa elektrik dan hibrid.
Ini bukanlah kali pertama Ford mengubah nama ikonik menjadi sebuah SUV.
Sebelum ini Ford memperkenalkan Mustang Mach-E yang langsung tiada kaitan dengan kereta muscle Mustang, diikuti model Capri dan Puma – kedua-dua merupakan crossover berkuasa elektrik.