
Segmen kei car Jepun bakal kehilangan sebuah model yang cukup unik, iaitu Daihatsu Copen.
Ini kerana kereta sport open top itu dijangka akan tamat produksi pada bulan Ogos tahun hadapan.
Daihatsu Copen kini menjadi satu-satunya model kereta sport di dalam segmen kei setelah Honda S660 ditamatkan produksinya pada tahun 2022.
Generasi pertama Copen diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2002 dalam tempoh beberapa tahun selepas Suzuki menamatkan produksi model Cappucino.
Kemudian pada tahun 2014, Daihatsu memperkenalkan generasi kedua Copen dimana terdapat versi bumbung kekal yang dinamakan sebagai Copen Coupe.
Daihatsu Copen dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 658 cc turbo yang mampu menjana 64 PS dan 92 Nm dengan sistem pacuan roda depan.
Adakah ini satu penamat buat Copen?
Jika anda masih ingat, pada tahun 2023 Daihatsu memperlihatkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Daihatsu Vision Copen.
Namun dengan ukuran dimensi yang jauh lebih besar dan konfigurasi pacuan roda belakang, Vision Copen ini tidak lagi sesuai dikategorikan dalam kelas kei car.
Mungkin lebih sesuai jika disifatkan sebagai pesaing sebenar kepada Mazda Miata!