Inilah unit terakhir Bugatti Bolide, sudah diserahkan kepada pemilik

3

Bugatti Bolide merupakan jentera berprestasi tinggi yang dikhususkan untuk kegunaan dalam litar lumba, di mana hanya 40 unit sahaja yang akan dihasilkan.

Unit yang dipaparkan dalam artikel kali ini merupakan unit yang ke-40, merangkap unit terakhir yang keluar dari kilang Bugatti yang terletak di Molsheim, Perancis.

Difahamkan, pemilik Bolide ini membelanjakan wang bernilai €4 juta (RM19.13 juta) dan turut memiliki koleksi Bugatti di dalam garaj seperti jentera klasik Type 35 dan Veyron Grand Sport.

Bolide dikuasakan oleh enjin bentangan W16 8.0 liter dengan empat unit pengecas turbo, menghasilkan kuasa setinggi 1,600 PS pada 7,050 rpm dan daya kilas 1,600 Nm antara 3,800 rpm hingga 7,050 rpm.

Jentera ini hanya memerlukan masa 2.2 saat untuk mencapai 100 km/j, 5.4 saat untuk mencecah 200 km/j dan 11.5 saat untuk mencapai kelajuan 300 km/j.

Had laju maksimum dihadkan kepada 501 km/j secara elektronik.

Jentera yang pantas ini memerlukan sistem brek yang cukup mantap.

Untuk itu, Bugatti memadankan brek karbon Brembo yang terbesar pernah dipasang pada hypercar litar, terdiri daripada angkup monoblok lapan omboh di depan dan enam omboh di belakang.

Hanya enam saat diperlukan untuk Bolide berhenti sepenuhnya daripada kelajuan 300 km/j dengan jarak cuma 228 meter.

Sistem brek Bugatti Bolide ini dikatakan mengikut piawaian kelas tertinggi perlumbaan seperti kelas hypercar Le Mans dan Formula Satu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here