VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan dua varian terbaharu bagi model ikonik – Golf R-Line dan Golf GTI – dengan reka bentuk lebih moden, teknologi baharu serta peningkatan prestasi dan kecekapan.
Golf R-Line sudah mula dibuka untuk pratonton, manakala Golf GTI dijual pada harga bermula RM255,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (VAP).
Bagi tujuan promosi masa terhad, 50 unit pertama GTI ditawarkan pada harga istimewa RM249,990 dengan pendaftaran sebelum 31 Disember ini.
Kedua-dua model ini dipasang di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang dan membawa pendekatan reka bentuk lebih aerodinamik di samping kemas kini visual yang ketara.
Pengarah Urusan VPCM, Renate Noessler berkata, pengenalan kedua-dua model ini menunjukkan evolusi berterusan dalam keluarga Golf yang menumpukan aspek kecekapan, teknologi dan pengalaman pemanduan dinamik.
“Golf R-Line baharu ini membuktikan bahawa ciri ‘sporty’ juga boleh hadir bersama kecekapan, tanpa perlu mengorbankan elemen gaya yang menjadi identiti Golf dan GTI baharu kami menawarkan peminat lebih kuasa, reka bentuk lebih tajam serta teknologi lebih pintar bagi memastikan GTI kekal ‘mendebarkan’ untuk prestasi dan pengendalian.” katanya.
![]()
Antara pembaharuan luaran ialah logo Volkswagen beriluminasi di bampar hadapan juga buat pertama kali diperkenalkan pada model di pasaran tempatan selain lampu utama IQ.LIGHT LED Matrix dan kluster lampu belakang 3D LED dengan isyarat membelok dinamik.
Bahagian dalaman Golf generasi baharu ini lebih berorientasikan pemandu dengan paparan infotainmen 12.9 inci gaya tablet menggunakan sistem MIB4 terkini.
Sistem ini hadir bersama ‘muka yang lebih responsif’ dan sistem navigasi terbina secara dalaman yang turut dilengkapi Digital Cockpit Pro 10 inci, pembantu suara IDA, roda stereng sport pelbagai fungsi dengan pemanas serta sistem penyaman udara tiga zon Air Care Climatronic.
Golf R-Line dikuasakan enjin 1.5 eTSI mild-hybrid (mHEV) turbo dengan kuasa 150PS dan tork 250Nm, digandingkan dengan transmisi DSG 7-kelajuan.
Jentera ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 8.6 saat dengan penggunaan bahan api sekitar 5.2L/100km, menjadikannya pilihan seimbang antara prestasi dan kecekapan.
Sementara itu, Golf GTI mengekalkan reputasinya sebagai ‘hot hatch’ utama Volkswagen yang kini menawarkan kuasa lebih tinggi melalui enjin 2.0 TSI turbo, menghasilkan 265PS adalah tambahan 20PS berbanding model sebelumnya dan turut digandingkan dengan transmisi DSG 7-kelajuan.
Bahagian kabin GTI menampilkan tempat duduk sport berbalut kulit Vienna dan sistem audio Harman Kardon sembilan pembesar suara bersama subwoofer.
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian disokong oleh teknologi IQ.DRIVE termasuk ciri Brek Kecemasan Auto dengan pengesan pejalan kaki, Kawalan Pelayaran Adaptif, Bantuan Lorong, Bantuan Sisi dan Pengesan Tumpuan Pemandu.






























