Ducati Panigale V4 Marquez 2025 World Champion Replica ini hanya ada 293 unit dalam dunia, harga RM379k!

4

Ducati mahu meraikan dominasi Marc Marquez dalam musim perlumbaan MotoGP 2025 dengan memperkenalkan jentera replika Panigale V4 edisi terhad.

Jentera dengan nama penuh Ducati Panigale V4 Marquez 2025 World Champion Replica ini hanya akan ditawarkan sebanyak 293 unit sahaja untuk pasaran global.

Dengan menggunakan Panigale V4 S sebagai asas, jentera edisi terhad ini didatangkan dengan beberapa kelengkapan eksklusif termasuklah liveri pasukan pengilang MotoGP dan tanda tangan original Marc Marquez pada penutup tangki bahan api.

Jentera replika ini turut diberikan peningkatan kuasa, di mana enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 itu mampu menjana kuasa setinggi 218.5 hp dan 122 Nm.

Sistem ekzos Akrapovic yang telah dihomologasi itu juga menyumbang kepada pengurangan berat badan sebanyak 2.5 kg.

Tidak cukup dengan itu, rim karbon menyumbang lagi pengurangan sebanyak 0.95 kg selain mengurangkan inersia putaran sebanyak 12 peratus di depan dan 19 peratus di belakang.

Dari segi penampilan, jentera ini didatangkan dengan sepasang pod sisi sudut – inovasi pertama yang diperkenalkan oleh Ducati dalam MotoGP musim 2021.

Suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 3.0 terdiri daripada fork hadapan NPX-30, penyerap hentak TTX 36 serta peredam stereng kawalan elektronik.

Sistem brek pula menggunakan sistem Front Brak Pro+ yang telah dihomologasi untuk kegunaan jalanan, terdiri daripada angkup GP4 Sport Production dan rotor berkembar Brembo T-Drive 338.5 mm, silinder utama Brembo MCS 19.21 dan tuil yang boleh dilaras.

Antara kelengkapan standard lain termasuklah klac kering, tempat pemijak kaki aluminium bilet, tempat duduk Alcantara, skrin perlumbaan kaca pleksi dan modul GPS.

Setiap jentera ini akan dihantar di dalam kotak kayu kustom, lengkap dengan sijil pemilikan tulen dan kain penutup khas.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan, pembeli jentera ini akan dijemput untuk berjumpa dengan Marquez ketika musim MotoGP 2026 atau ketika acara World Ducati Week 2026 pada 3-5 Julai tahun depan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here