Isuzu D-MAX 2019 bakal hadir dengan enjin 1.9-liter serba baru

3196

Isuzu D-MAX 2019 akan menampilkan enjin 1.9-liter Ddi Blue Power yang dinanti-nantikan dan dikatakan akan dilancarkan di Malaysia pada 18 September ini. Pengumuman itu dibuat oleh Isamu Tateyama, Pengurus Besar Jabatan Rekabentuk Enjin, Isuzu Technical of Asia di Phuket Thailand.

Enjin RZ4E-TCX itu akan menggantikan enjin 2.5-liter 4JK1-TCX sedia ada. Enjin baharu ini menggunakan sesaran lebih rendah dan akan mempunyai konsep lebih cekap bahan api, lebih senyap dan lebih tahan lasak.



Antara pembaharuan pada enjin ini adalah rekaan kebuk pembakaran baharu, pengecas turbo VGS berkecekapan tinggi, komponen enjin dengan geseran lebih rendah serta penyuntik bahan api yang lebih tepat.

Hasilnya, Isuzu D-MAX 2019 berjaya menambah kuasa sebanyak 10 peratus dan tork sebanyak 9 peratus. Enjin itu menghasilkan 150PS dan 350Nm tork.

Untuk menyokong peningkatan kuasa dengan sesaran lebih rendah, Isuzu telah memperkukuhkan atau mereka semula komponen bertekanan tinggi seperti penyuntik, con-rod, pelaras injap, blok silinder, serta head.

Sistem suntikan commonrail baru pula telah ditambahbaik dan memberikan atomisasi untuk bahan api, lalu menyebabkan jumlah suntikan yang lebih tepat.

Pengurangan berat

Satu lagi penambahbaikan yang penting ialah pengurangan berat. Enjin baharu ini 56kg lebih ringan berbanding unit 2.5-liter 4JK1 sebelum ini. Pada masa yang sama, kapasiti beban juga meningkat.

Untuk memanfaatkan lagi karakter enjin ini, Isuzu telah membangunkan transmisi 6-kelajuan baharu – manual dan automatik. Transmisi-transmisi ini mempunyai nisbah lebih rapat untuk pemanduan lebih responsif. Dua gear tertinggi pula diberikan nisbah lebih besar untuk meluncur dengan lebih selesa.

Seperti anda mungkin tahu, enjin 1.9-liter Ddi Blue Power ini telah berada di Thailand beberapa tahun. Ia baru hendak memasuki Malaysia kerana jarak masa ini digunakan oleh Isuzu Malaysia untuk membangunkan enjin ini agar ia berfungsi dengan cara sepatutnya di suasana tempatan.

Enjin ini telah ditala agar boleh menerima kualiti bahan api lebih rendah iaitiu Euro 2M yang dijual di stesen minyak kita. Antara talaan yang dibuat adalah dengan meletakkan pra-penapis. Isuzu juga sedang bekerja untuk memastikan enjin ini boleh digunakan dengan biodiesel B20.

Dari segi prestasi, syarikat itu telah menyempurnakan lebih 3,500 jam bench test serta memandu uji D-MAX dengan enjin baharu ini ke beberapa lokasi tanah tinggi. Lokasi-lokasi ini adalah Cameron Highlands, Genting Highlands, Kundasang dan Tambunan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here