Pandu uji: Hyundai Santa Fe 2.4 MPI – SUV Korea dengan resepi Amerika

3219

Boleh dikatakan SUV yang sempurna ialah sebuah SUV selamat, praktikal, luas dan mempunyai nilai untuk wang yang baik. Tetapi dalam realiti dunia sebenar, tiada yang sempurna. Sama seperti anda tidak boleh memiliki tenaga, wang dan masa sekaligus. Jadi untuk Hyundai Santa Fe serba baharu ini, adakah ia sebuah SUV segmen-D yang hampir sempurna?



Hyundai Santa Fe yang anda lihat ini ialah unit dari varian 2.4 MPI Premium, satu dari empat varian yang dilancarkan awal tahun ini.

Luaran

Penggayaan Hyundai Santa Fe baharu ini agak luar biasa di beberapa bahagian, tetapi itulah yang menjadi kegemaran penulis. Ya, kita bercakap mengenai rupa depan yang agak menyerlah itu.

Penulis sukakan lampu LED DRL yang diasingkan dari lampu utama depan, dimana lampu LED terletak di bahagian atas manakala lampu utama di bawah. Posisi lampu utama ini adalah di kawasan yang kebiasaannya terdapat lampu kabus.

Bukan sahaja LED DRL yang berada di bawah situ, tetapi lampu tinggi juga terletak di bawah, betul-betul di atas lampu utama. Terus ke bawah ialah lampu isyarat belok/signal. Kedengaran agak berserabut, tetapi percayalah, ia tidak sebegitu berserabut. Cuba lihat di gambar sini.

Oh ya, rupa depan ini juga sangat menyerupai model Kona, iaitu SUV Hyundai yang lebih kecil yang ditawar dalam versi hibrid dan EV.

Di bahagian tepi dan belakang, segalanya nampak semakin konvensional dan biasa, tetapi masih segar. Model Premium ini menggunakan rim 19-inci, dan lampu belakang juga LED.

Dalaman

Tiada apa boleh dirungut sebenarnya mengenai kabin Santa Fe ini. Ia terbina dengan baik, terasa mewah sebagai SUV segmen-D dan mendapat kelengkapan yang baik.

Unit hiburan dengan skrin sesentuh 7-inci “terapung” menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, dan ini memang penting untuk hiburan seisi keluarga.

Tempat duduknya boleh dipilih dengan kulit berwarna hitam atau burgundy (unit ini mendapat kulit hitam) dan ianya cukup selesa dan suportif.

Kedua-dua tempat duduk depan adalah berkuasa elektrik, dan terdapat “butang bos” di tepi tempat duduk penumpang depan untuk penumpang baris kedua melaraskannya. Fungsi ini biasa dijumpa di sedan mewah, tak pasti jika Santa Fe memerlukannya, tetapi ia ada.

Sekarang kita pergi ke praktikaliti. Tempat duduk barisan kedua mempunyai pembahagian 40:20:40, manakala tempat duduk baris ketiga adalah 50:50.

Semua tempat duduk mendapat tali pinggang tiga-poin individu. Tiada amaran tali pinggang, tetapi ia dilengkapi Rear Occupant Alert (ROA) yang akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat seseorang tertinggal di dalam kereta semasa hendak mengunci kereta. Satu fungsi menarik.

Port USB? Dua di depan dan tiga di baris kedua, tiada port USB di baris ketiga.

Keluar dan masuk ke tempat duduk baris ketiga agak baik. Pintu belakang mempunyai bukaan yang luas tetapi lipatan tempat duduk barisan kedua mungkin boleh ditambahbaik.

Walaubagaimanapun, duduk di barisan ketiga tidak terasa claustrophobic langsung walaupun tingkap tepinya bukanlah yang terbesar jika dibandingkan dengan lawannya seperti Kia Sorento atau Mazda CX-8.

Enjin dan prestasi

Terdapat dua jenis enjin ditawarkan, dan 2.4 MPI ini menghasilkan 172hp dan 225Nm tork. Enjin petrol ini menghantar kuasanya ke tayar depan melalui transmisi automatik 6-kelajuan.

Untuk model 2.2 CRDI diesel, ia mendapat pacuan semua-roda dan transmisi automatik 8-kelajuan.

Pemanduan

Mengemudi Santa Fe di kawasan padat memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan saiznya. Namun pandangan ke luar kereta agak bagus dan sebaik anda terbiasa dengan saiznya, memandu Santa Fe jadi menyeronokkan.

SUV besar ini bergerak dengan lancar, ini kerana ia dijana enjin naturally-aspirated dengan cc agak besar, dipadan dengan transmisi automatik lancar dan kerana beratnya yang melebihi 1,700kg.

Ia mampu mencapai kelajuan yang tinggi, tapi ia bukanlah pantas memecut. Dan bila anda sudah memperoleh momentum, ia mampu mengambil selekoh dengan cemerlang.

Tayar ContiSportContact padanya agak senyap dan memberikan tahap cengkaman yang baik, sesuai dengan karakter SUV ini.

Sama seperti Hyundai lain yang baru, stereng pada Santa Fe ini agak “mati” dan tidak mempunyai rasa yang konsisten. Tetapi ada hikmahnya, ia membuatkan pemanduan Santa Fe sangat santai, terutamanya jarak jauh.

Untuk penggunaan bahan api, harus penulis katakan ia tidaklah begitu bagus. Hanya 9 hingga 12 km per liter. Harus diingat, memandu berseorangan Santa Fe ini memang tidak begitu berbaloi, namun pelaburan bahan api ini berbaloi apabila anda membawa seisi keluarga penuh dalam SUV ini.

Bagi penulis, Santa Fe menjadi model yang penting untuk Hyundai di Malaysia. Ini kerana ia menawarkan nilai yang baik dengan pakej yang ditawarkan.

Ya, Toyota Harrier dan Mazda CX-8 serta CX-9 juga menarik, tetapi Santa Fe sama praktikal dan selesa, dan paling penting lebih mampu milik.

Kembarnya, Kia Sorento mempunyai rupa lebih teguh dan tradisional manakala Santa mempunyai daya tarikan kepada anda yang gemar menjadi berbeza dan unik dari orang lain.

 

Spesifikasi Hyundai Santa Fe 2.4 MPi Premium

Harga: RM189,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 2,359cc, 4-silinder, DOHC dengan VVT
Kuasa maksima: 170 hp @ 6,000 rpm
Tork maksima: 225 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, traction control, stability control, Rear Occupant Alert, Rear Cross Traffic Alert

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here