Tengku Djan Ley, Shawn Lee ulang kejuaraan Toyota Vios Challenge, Hayden Haikal juara termuda

2068

Toyota dengan rasminya melabuhkan tirai bagi acara Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge Musim Ketiga dengan menobatkan tiga juara untuk setiap kelas.

Kejuaraan bagi perlumbaan tahun ini sempat berlangsung meriah sebelum terbantut akibat penularan wabak pandemik Covid-19.



 

Musim ketiga menyaksikan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Super Sporting bagi pemandu-pemandu profesional, manakala personaliti TV dan pemuzik Shawn Lee muncul juara untuk kategori Promotional yang terdiri daripada barisan pelumba selebriti.

 

Sementara itu, Hayden Haikal yang baru berusia 16 tahun pula menjadi juara kategori Sporting bagi pemandu amatur, menjadikannya juara termuda dalam siri ini.

Musim ketiga Toyota Vios Challenge sepatutnya mempunyai empat perlumbaan dimana tiga perlumbaan telah dilangsungkan sebelum ini.

Perlumbaan kemuncak sepatutnya berlangsung pada 17-19 April lalu di Litar Antarabangsa Sepang, namun ia terpaksa dibatalkan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020.

“Ini tentulah bukan cara yang kami inginkan untuk menamatkan sebuah siri perlumbaan yang biasanya akan bertambah sengit dan mendebarkan pada perlumbaan terakhir kejuaraan,” kata Ketua Pegawai Sukan Permotoran, Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

“Perlumbaan terakhir bagaimanapun perlu dibatalkan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan warga awam dan juga kepentingan negara terjamin,” tambahnya.

Akio yang juga Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd berkata, keputusan akhir pemenang diambil selepas perbincangan teliti dengan mematuhi serta konsisten terhadap semua penetapan yang digariskan oleh peraturan teknikal kejuaraan, serta melalui perbincangan dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Keputusan yang dicapai juga sangat konsisten dengan cara terbaik yang diamalkan oleh penganjuran perlumbaan antarabangsa.

Musim ketiga siri perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge telah bermula di Kuala Terengganu pada 5-7 September 2019, sebelum berlangsung di Bandar Malaysia pada 9-10 November 2019 dan seterusnya di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14-16 Februari 2020 untuk pusingan ketiga.

Bergerak ke hadapan, Akio menambah bahawa UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini di dalam tahap awal merencana persiapan musim keempat yang lebih menarik bagi Toyota Gazoo Racing Festival dan juga Toyota Vios Challenge.

Tengku Djan – Juara Super Sporting

Bagi juara kategori Super Sporting, Tengku Djan, kemenangan keseluruhan kali ini menjadi kejuaraan keduanya setelah muncul juara pada musim pertama dahulu, sebelum berehat dan memikul tanggungjawab sebagai pengurus pasukan pada musim kedua.

Memandu untuk pasukan 23 Motors, Tengku Djan menamatkan musim ketiga dengan perbezaan 11 mata berbanding pelumba di kedudukan kedua, Mark Darwin dari Laser Motor Racing, sementara pelumba pasukan Telagamas, Freddie Ang dengan perbezaan 14 mata lagi menduduki tempat ketiga.

Tengku Djan yang menghabiskan enam perlumbaan musim ini dengan dua kemenangan, dua kali sebagai naib juara, satu kali di kedudukan ke-empat serta satu kali tidak menamatkan perlumbaan.

“Toyota Vios Challenge sentiasa menjadi sebuah siri perlumbaan yang sangat memuaskan bagi pemandu, dan dalam masa yang sama menjadi medan untuk membuktikan kemampuan kerana anda tidak hanya memandu di dalam litar jalanan yang memerlukan ketepatan, tetapi semua orang perlu bersaing pada tahap yang sama kerana menggunakan jentera yang identical,” kata Tengku Djan.

Hayden Haikal – Juara Sporting

Hayden Haikal, seorang pemandu muda berusia 16 tahun adalah contoh terbaik. Beliau menjadi pelumba termuda yang pernah memenangi perlumbaan di dalam Toyota Vios Challenge dan muncul juara bagi kategori Sporting bagi musim ketiga.

Hayden menyertai perlumbaan ini sejak musim kedua dan berusia 15 tahun ketika itu, menjadi pemandu baru termuda yang pernah menyertai perlumbaan sebaik beralih daripada perlumbaan gokart kepada jentera lumba saloon.

Beliau bukan sahaja terpaksa belajar selok-belok perlumbaan litar dengan cepat (perlu membiasakan diri untuk menukar gear secara manual dan cara pengendalian sebuah jentera saloon), Hayden dengan cemerlang berjaya memperbaiki kemahiran di dalam setiap perlumbaan.

“Beralih dari lumba gokart tidaklah terlalu mudah seperti yang saya sangka memandangkan saya menghabiskan tahun pertama di dalam Toyota Vios Challenge mencuba untuk mempelajari dinamik jentara saloon yang digunakan, menajamkan semula teknik seperti membrek, mengambil selekoh dan memotong, dan sedaya upaya mengelak tembok penghadang,” kata Hayden.

Shawn Lee – Juara Promotional

Sementara itu, seorang lagi pelumba yang diangkat sebagai pemenang kejuaraan keseluruhan bagi kali kedua di dalam kategori Promotional ialah Shawn Lee yang pernah muncul juara pada musim pertama dahulu dan dinaik taraf ke kategori Sporting pada musim berikutnya.

Kembali bersaing di dalam kategori Promotional untuk musim ketiga, dia meraih tiga kemenangan dan dengan jelas menjadi seorang pemandu yang sangat dominan ketika di dalam litar.

Menduduki tempat kedua ialah Shukri Yahaya dengan perbezaan 15 mata, sementara tempat ketiga menjadi milik Nabil Ahmad.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemandu di dalam kategori Promotional diatas saingan sengit yang diberikan sepanjang musim ini,” katanya.

“Mereka sentiasa menampilkan perlumbaan yang mencabar, dengan sebahagian daripada rakan-rakan selebriti yang sudah berlumba untuk kali kedua atau ketiga perlumbaan ini menjadikan tahap persaingan yang ditonjolkan sangat tinggi.”

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here