Pandu uji: Peugeot 5008 ini sebuah SUV 7-tempat duduk untuk yang mahukan kelainan

4944

Dalam mencari sebuah SUV 7-tempat duduk, kita biasa melihat kepada model-model seperti Nissan X-Trail, Mitsubishi Outlander, Kia Sorento atau Hyundai Santa Fe.

Tetapi perasankah anda, terdapat satu lagi calon menarik? Ya, Peugeot 5008. Ia dilancarkan pada 2019, dan model 3008 yang menjadi asas kepada 5008 ini pula berada dalam pasaran kita sejak 2017.



Satu fakta menarik mengenai Peugeot 3008 ialah ia merupakan pemenang European Car of the Year 2017.

Tetapi, Peugeot 5008 ini masih kelihatan baharu, bukan? Selain dari tak banyak di jalan raya, rekabentuknya juga sangat moden, berseni, dan lain dari yang lain.

Rekaan luaran bergaya

Dari bampar depan hingga tiang-B (sempadan antara pintu depan dan belakang), Peugeot 5008 ini sebenarnya hampir sama dengan 3008. Ia mempunyai ukuran lebar 1,855mm berbanding 1,850mm pada 3008.

Dari segi panjang pula, Peugeot 5008 ini 160mm lebih panjang dari 3008, dan mempunyai jarak roda wheelbase 110mm lebih panjang.

Badan yang seperti “ditarik” dan jarak roda lebih panjang ini membuatkan Peugeot 5008 nampak sedikit janggal dari profail tepi. Tetapi ia memberikan kelebihan besar dari segi keselesaan, kita akan sentuh bab ini kemudian.

Kelengkapan luaran 5008 varian Allure ini adalah lampu depan LED, lampu kabus LED, lampu belakang “claw effect” LED, pengesan parkir belakang, kamera undur, bumbung suria panoramik dan pintu but berkuasa.

Bagi penulis, rekabentuk luaran Peugeot 5008 ini bukanlah paling cantik, tetapi ia nampak paling moden dan bergaya. Terutama sekali lampu depan dan grilnya, begitu banyak perincian diberikan.

Di bahagian tepi juga mempunyai lekuk-lekuk yang menjadikan 5008 ini nampak lebih gagah dan rugged.

Peugeot i-Cockpit

Bahagian kabin 5008 ini didominasi oleh Peugeot i-Cockpit yang sangat futuristik dan menawan. Walaupun penulis telah memandu uji 3008 pada 2017, rekaan ini masih nampak segar. Ini kerana ia kelihatan sangat berbeza dari papan pemuka konvensional lain.

Panel instrumen digital 12.3-inci di depan stereng terletak di atas papan pemuka dan bukan di dalam papan pemuka. Kemudian, ia dipadankan dengan roda stereng bersegi yang tidak bulat dan agak kecil. Nampak menyeronokkan seperti stereng kereta dari masa depan!

Dan gabungan ini memerlukan kita melihat panel instrumen di atas roda stereng dan bukan melaluinya seperti biasa. Dari segi ergonomik, ia terasa kekok pada mulanya, tetapi selepas beberapa ketika, mula terasa selesa.

Kelebihan ini adalah kita tidak perlu mengalihkan pandangan terlalu jauh dari jalan-raya semasa memandu untuk melihat maklumat pemanduan.

Bahagian panel tengah dan tombol gear lebih menarik, dengan kemasan seperti piano, paparan skrin 8-inci dan tombol gear seperti joystick Airbus A380.

Enjin dan transmisi

Di bawah hud depan yang besar dan gagah seperti Range Rover itu bukanlah enjin gedabak 3.0-liter V6, tetapi enjin 1.6-liter Twin Scroll High Pressure (THP). Dan jangan tertipu dengan saiz itu, kerana enjin ini tetap berkuasa, mampu menjana 167PS dan 240Nm tork.

Output ini dihantar ke roda depan menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan.

Pemanduan

Memandu Peugeot 5008 ini sangat mudah dengan pecutan yang bersahaja. Tork maksima 240Nm diperolehi dari serendah 1,400rpm, dan pecutan ini disambung oleh kuasa maksima pada 6,000rpm.

Jadi di rpm rendah, pecutan sangat tenang dan senyap, tetapi ia tetap “pergi”. Dan walaupun kereta dinaiki penuh 7 orang dewasa, kuasa terasa mencukupi dan langsung tidak underpowered.

Kebanyakan ahli keluarga yang penulis tumpangkan menaiki 5008 ini menyangka ia dikuasakan sekurang-kurangnya enjin 1.8-liter. Begitulah tanggapan yang diberikan oleh rupa dan gaya pecutan kereta ini.

Dan ya, kuasa ini setanding dengan Mitsubishi Outlander dan Nissan X-Trail 2.0-liter.

Dari segi pengendalian pula, penulis menyangka perbezaan terasa semasa membelok kerana 5008 lebih panjang dan mempunyai jarak roda lebih dari 3008. Tetapi sebenarnya, hampir tiada perbezaan. Hendak buat pusingan-U pun sekali jalan sahaja.

Cuma perbezaan rupanya agak ketara semasa di jalan beralun. Suspensi belakang menyerap hentakan dengan cukup baik, tetapi ayunan badan ke atas dan bawah dapat dirasa oleh pemandu, mengingatkan yang 5008 ini kenderaan lebih panjang.

Untuk keselesaan, kabin memang sangat senyap walaupun di kelajuan 110-120 km/j di lebuhraya. Khas untuk penumpang baris ketiga, juga sangat selesa dan antara penentu kepada aspek ini ialah posisi tayar belakang.

Jarak roda yang panjang membuatkan penumpang baris ketiga duduk hampir di atas tayar belakang, dan bukan jauh ke belakang. Jadi, rupa luaran yang sedikit janggal itu merupakan “pertukaran” untuk keselesaan tempat duduk belakang.

Jika anda mencari sebuah SUV 7-tempat duduk, sangat wajar mencuba dahulu Peugeot 5008 ini. Lebih-lebih lagi jika anda mementingkan gaya dan tidak kisahkan apa cakap orang.

Kenapalah keputusan kita membeli kereta terlalu fikirkan cakap orang, ye? Kata hati kita lebih penting dan bukan orang-orang itu yang membayar ansuran bulanan kita.

Oh ya, Peugeot 5008 dilindungi oleh jaminan 5-tahun, datang dengan servis percuma 3-tahun, serta servis tunda 24-jam Peugeot Assistance.

Spesifikasi Peugeot 5008 Allure

Harga: RM179,888
Enjin: 1,598cc, 4-silinder turbo, suntikan terus bahan api
Kuasa maksima: 165 hp @ 6,000 rpm
Tork maksima: 240 Nm @ 1,400 rpm
Transmisi: Automatik 7-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), torsion beam (belakang)
Berat: 1,595 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, seat-belt reminder, Anti-Skid Regulation, Dynamic Stability Control, Driver Attention Alert, Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring Assist dan ISOFIX.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here