Toyota memperkenalkan sepasang Toyota AE86 klasik dengan rangkaian kuasa baru!

1100

Sempena Tokyo Auto Salon 2023, Toyota memperkenalkan sepasang kenderaan konsep retronya iaitu Corolla AE86 tahun 1980-an dengan menggunakan kuasa hidrogen dan elektrik.

Satu daripada kereta itu dikuasakan oleh bateri, manakala kereta yang lain menggunakan enjin petrol yang ditukar untuk menggunakan hidrogen.

Walaupun kedua-dua AE86 adalah konsep buat masa ini, Presiden Toyota Motor Corporation Akio Toyoda mencadangkan bahawa sistem hidrogen dan elektrik boleh didapati sebagai pakej penukaran untuk kereta sedia ada.



Toyota AE86 H2

Beliau yang dipetik www.drive.com.au berkata, banyak pembuat kereta menyasarkan antara tahun 2030 hingga 2040 adalah 100 peratus beralih kepada kenderaan bateri elektrik. 

Menurutnya, bagaimanapun realitinya kita tidak boleh mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 hanya dengan menukar semua jualan kereta baharu kepada elektrik.

”Kita mesti memikirkan kereta yang sedang beroperasi. Dalam erti kata lain adalah penting untuk menyediakan pilihan untuk kereta lain yang sudah dimiliki oleh seseorang,” katanya.

Bagi konsep hidrogen, ia dikenali sebagai ‘Konsep AE86 H2′, dan berdasarkan versi ‘Trueno’ AE86 – menukar enjin petrol empat silinder 1.6 liter dengan menggunakan hidrogen sebagai bahan api.

Hidrogen disimpan dalam dua tangki di bahagian belakang kereta, diambil daripada kereta elektrik sel bahan api hidrogen Toyota Mirai. Pengubahsuaian minimum dibuat pada enjin, yang terdiri daripada penyuntik bahan api baharu, paip bahan api dan palam pencucuh.

Toyota AE86 EV

Sementara itu, AE86 EV Concept menggunakan motor elektrik daripada pikap hibrid Toyota Tundra, dan pek bateri Prius.

Ia menghasilkan kuasa sehingga 36kW dan 250Nm dengan kapasiti bateri boleh menyimpan 13.6kWh.

Kedua-dua jentera itu menggunakan tempat duduk perlumbaan Bride, manakala tali pinggang keledar dikatakan diperbuat daripada bahan kitar semula.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here