Seorang maut, dua lagi cedera selepas Perodua Myvi terbabas langgar lori

923

Seorang lelaki maut manakala dua rakan cedera selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM77.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Tapah, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 7.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Khairil Aznie Bahraum, 23, dari Slim Village, Slim River maut akibat kecederaan parah.

Dua rakan sekampung, masing-masing berusia 24 dan 23 tahun cedera ringan pada bahagian kepala dan tangan.



Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika Perodua Myvi dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Chenderiang menuju ke Slim River.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tayar bahagian depan sebelah kanan lori tersebut.

“Akibat dari kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua penumpang kereta cedera ringan manakala pemandu lori berusia 59 tahun tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebelum dituntut keluarga.

Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering yang mana kemalangan berlaku di jalan sedikit berselekoh, dua hala dua lorong dan dua garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong.

Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here