
Tidak sampai beberapa bulan, pasaran Jepun akan dihidangkan dengan coupe hibrid terbaharu daripada Honda, iaitu Prelude (2026).
Namun, apa yang mengejutkan ialah harga jualan yang dikatakan jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan model Civic Type R, serta pesaing seperti Toyota GR Supra dan Nissan Z.
Biarpun menggunakan platform Civic, akan tetapi Prelude nampaknya diposisikan lebih premium berbanding hot hatch Civic Type R.
Menurut laporan media Jepun Creative Trend, harga jualan Honda Prelude dijangkakan bermula dari ¥6,179,800 (RM176,825) untuk warna Flame Red atau Crystal Black Pearl.
Untuk warna khas Meteoroid Gray Metallic perlukan tambahan ¥38,500 (RM1,102), sementara kemasan Moonlit Pearl pula datang dengan premium ¥85,000 (RM2,432).
Versi yang paling mahal, Honda ON Limited Edition dengan bumbung hitam dan beberapa kelengkapan ekstra disenaraikan pada harga ¥6,540,000 (RM187k).
Sebagai perbandingan, Honda Civic Type R dijual pada harga bermula ¥4,997,300 hingga ¥5,998,300 (RM143k-RM172k) di Jepun.
Nissan Z dengan nadi V6 3.0 liter turbo berkembar dijual pada harga ¥5,497,800 (RM157k) sementara Toyota GR Supra versi 2.0 liter turbo memiliki tanda harga bermula ¥4,995,000 (RM143k).
Honda Prelude akan dikuasakan oleh nadi 2.0 liter hibrid dengan dua motor elektrik – trenkuasa yang sama didapati pada model Civic e:HEV.
Ia juga dilapor mendapat kelengkapan original Civic Type R termasuklah tetapan suspensi depan dua paksi dan angkup brek Brembo hadapan.
Antara kelengkapan lain termasuklah rim 19 inci, peredam adaptif, sistem Honda S+, skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 9 inci, sistem pencahayaan ambien, kawalan iklim dua zon dan rekaan tempat duduk berbeza untuk pemandu dan penumpang hadapan.