
Yamaha rasmi memperkenalkan jentera lumba MotoGP baharu yang dikuasakan enjin V4, iaitu YZR-M1.
Pendedahan berkenaan dilakukan menjelang perlumbaan di Litar Dunia Misano hujung minggu ini.
Langkah tersebut menandakan perubahan besar dari konfigurasi empat sebaris yang selama ini menjadi ciri khas Yamaha lalu beralih kepada konfigurasi V4 yang digunakan oleh pesaing utama mereka.
YZR-M1 V4 Debut di Misano
Pelumba uji Yamaha, Augusto Fernandez, akan beraksi menggunakan jentera V4 baharu ini sebagai wild card dalam Grand Prix San Marino. Matlamat utama penyertaan ini adalah untuk mengumpul data persekitaran perlumbaan sebenar.
Sementara itu, pelumba utama pasukan, Fabio Quartararo dan Álex Rins, akan terus berlumba dengan M1 sedia ada.
Bagaimanapun, mereka dijadualkan untuk menguji jentera baharu berkenaan pada sesi ujian rasmi yang akan berlangsung pada hari Isnin.
Perubahan Reka Bentuk dan Aerodinamik
Secara visual, terdapat beberapa perubahan ketara antara kedua-dua versi M1 tersebut.
Sistem aerodinamik telah diubah suai, dengan perbezaan paling ketara pada bahagian ekor, elemen aero sisi, dan bellypan baharu yang melengkung ke atas di bahagian hadapan.
Sistem ekzos juga baharu, kini menampilkan dua silencer satu di sebelah kanan swingarm dan satu lagi di bawah ekor.
Meskipun enjin baharu ini disasarkan untuk musim 2026, kelas MotoGP akan beralih kepada had anjakan 850cc pada 2027.
Ini bermakna enjin baharu ini, dalam konfigurasi 1,000cc, hanya akan digunakan paling lama untuk satu musim sahaja sebelum peraturan baharu berkuatkuasa.