“Baru tamat latihan, pangkat inspektor dah pakai Vellfire,” Tan Sri Ayob

226

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa tindakan tegas terhadap rasuah tanpa mengira pangkat, bermula dari peringkat atasan.

Menerusi forum “Merdeka Keamanan Negara Tunjang Kemerdekaan” di Bukit Jelutong, baru-baru ini, Ayob Khan menceritakan pengalamannya sendiri dan membandingkan dengan situasi semasa yang berlaku dalam pasukan polis apabila amanah dilacurkan. 

Beliau merujuk pada kes seorang pegawai berpangkat inspektor yang baru sahaja menamatkan latihan namun memiliki kenderaan mewah.

“Kadang-kadang pegawai polis ini, masa saya duduk di Johor, pangkat inspektor, baru keluar dari pusat latihan…pakai Vellfire.

“Saya, isteri saya pun kerja polis… kereta pertama saya beli Proton Saga adala RM17,000.

“Dululah tahun 1993. Lepas itu kereta kedua pun second hand, kereta ketiga pun second hand, kereta keempat dah pangkat superintenden barulah boleh beli kereta baharu,” katanya. 

Sedangkan gaji permulaan seorang inspektor hanya sekitar RM4,000 hingga RM5,000 dan untuk tangga gaji sedemikian tidak setara untuk memiliki kenderaan mewah. 

Beliau mendedahkan setelah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat, didapati pegawai tersebut terlibat dalam “collection bulanan” atau pungutan wang haram.

“Apabila check dia kata mak saudara bagi. Saya tanya balik mak saudara dia kerja apa. Kalau-kalau jutawan, okay lah kan. Tengok tak ada pun. Bila saya tanya dua tiga soalan, tersangkut, dia ada collection bulanan,” jelas beliau.

TINDAKAN DARI ATAS, TIADA DOUBLE STANDARD

Ayob Khan menegaskan masalah rasuah tidak hanya terhad kepada pasukan polis, tetapi juga berlaku di agensi-agensi lain seperti Jabatan Imigresen.

Jelasnya, perkongsian berkenaan bukanlah ingin memburukkan jabatan tersebut. Beliau berpendapat rasuah tidak akan pernah memuaskan sesiapa yang terlibat.

“Saya cerita ni bukan nak cerita keburukan polis, sama je kebanyakan tempat agensi lain sama. Contoh Imigresen tangkap tak larat nak tangkap..counter setting tu.

“Perkara ini memang berlaku sebab apa? Dah rasa duit haram ini memang takkan puas,” tambahnya.

Beliau juga menyeru agar tindakan membanteras rasuah perlu bermula dari peringkat atasan.

“Jika kita nak ambil tindakan rasuah, ambil daripada atas. Jika atas betul, insyaAllah bawah betul, kalau tak betulpun dia takut nak buat. Kalau atas tak betul macam mana dia nak betulkan dekat bawah?,” soalnya, menekankan kepentingan integriti dalam kalangan pemimpin.

Beliau menyeru agar menghapuskan double standard dalam tindakan rasuah, memastikan semua yang terlibat diambil tindakan tanpa pengecualian.

“Jangan ada double standard. Ambil-ambil semua. Kalau orang bawah, tekan. Atas, tak apalah, ‘okaylah, kesianlah,’ apalah…” ujarnya dengan nada tegas.

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here