
Seorang peniaga alat ganti kenderaan membelanjakan lebih RM2 juta dalam tempoh 10 tahun untuk membeli pelbagai jenis kenderaan dalam sesi lelongan awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara.
K. Sridaran, 30, yang menjalankan perniagaan jualan kenderaan terpakai dan alat ganti di Ipoh, Perak berkata pembelian pada sesi lelongan awam JPJ merupakan satu daripada strategi perniagaan dalam usaha mendapatkan bekalan pada harga lebih kompetitif.
“Saya mula ikuti sesi lelongan awam JPJ sekitar tahun 2015, dan pada setiap sesi lelongan kalau ada rezeki, kita dapat kenderaan yang sesuai.
“Motosikal, kereta atau lori yang kita beli, kita tengok sama ada boleh dibaiki, dijual semula atau dileraikan untuk dijadikan alat ganti,” katanya.

Pada sesi lelongan tersebut, Sridaran muncul pembida tertinggi selepas membelanjakan lebih RM45,000, yang dibayar secara tunai untuk pembelian beberapa unit kenderaan termasuk motosikal dan sebuah traktor prime mover.
Beliau yang mengusahakan tiga gudang penyimpanan kenderaan dan stor alat ganti di sekitar Ipoh berkata pembelian terbesar pernah dibuat adalah sebuah treler dengan harga kira-kira RM80,000 dalam satu sesi lelongan di Kuantan, Pahang sebelum ini.
Sridaran berkata antara kelebihan pembelian menerusi lelongan awam ialah nilai barangan yang perolehi boleh mencecah lebih separuh daripada harga pasaran, bergantung kepada keadaan kenderaan tersebut.
“Kadang-kadang untung, rugi pun ada. Ada masa kita terbeli mahal sebab berlawan bidaan tetapi biasanya kita akan seimbangkan (cover) daripada kenderaan lain yang dapat pada harga lebih murah,” katanya.
Ditanya mengenai permintaan pasaran kenderaan lelong, Sridaran berkata bengkel kenderaan kecil dan sederhana dari seluruh negara sering mendapatkan alat ganti daripadanya kerana harga lebih rendah berbanding alat ganti baharu.
Beliau berkata pihaknya juga menjual kenderaan serta alat ganti tersebut secara dalam talian seperti di Facebook Marketplace tetapi kebanyakan pelanggan datang sendiri ke kedai untuk melihat dan memilin barang.































