Honda EV Outler Concept ibarat jelmaan motosikal fiksyen menjadi realiti!

7

Bertempat di Japan Mobility Show yang berlangsung pada awal bulan yang lalu, Honda ada mempamerkan sebuah model konsep motosikal yang cukup futuristik dan canggih.

Dinamakan sebagai EV Outlier Concept, model ini dilihat seakan motosikal fiksyen daripada animasi Akira dijelmakan menjadi satu realiti.

Jentera dengan pelana tunggal itu menawarkan posisi tunggangan seperti sebuah cruiser, namun apa yang membuatkan EV Outlier ini lebih unik ialah sistem pacuannya.

Ini kerana setiap satu roda menempatkan motor elektrik yang dipasang pada bahagian hab, menjadikannya sebuah motosikal pacuan dua roda.

Motosikal ini menggunakan kerangka casis aluminium yang disokong oleh lengan ayun di belakang dan dibantu dengan tetapan fork Hossack, double trailing arm dan penyerap hentak tengah untuk bahagian hadapan.

Terdapat dua skrin paparan TFT berwarna: salah satunya skrin melintang yang lebar pada bar hendal untuk paparan info penting seperti kelajuan, tahap cengkaman roda dan sudut condong jentera.

Sebuah lagi skrin menegak pula digunakan untuk paparan peta navigasi.

Buat masa ini, Honda belum mendedahkan perincian tentang kapasiti bateri, jarak gerak, keupayaan pengecasan serta prestasi yang bakal dihamburkan oleh EV Outlier Concept ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here