5 jenis suspensi pada kereta, apa kelebihan dan kekurangan setiap jenis?

18528

Setiap kenderaan mempunyai sistem suspensi yang menghubungkan roda dan tayar dengan keseluruhan kenderaan.

Ford Fiesta ST. Imej: Evo

Suspensi berfungsi memberikan kestabilan membelok, memaksimakan sentuhan tayar dengan permukaan jalan dalam pelbagai situasi pemanduan, dan memastikan penumpang tetap selesa.

Imej: WhichCar

Sistem suspensi itu sendiri terdiri dari gabungan beberapa komponen dan bahagian yang terdiri dari tayar, linkage, penyerap hentak, sistem stereng, joint, bearing, bushing, dan spring. Tetapi tidak semua sistem suspensi itu serupa.



Sistem suspensi berbeza digunakan untuk kenderaan berbeza dan dengan keperluan berbeza. Jadi apa jenis suspensi yang ada dalam pasaran kenderaan sekarang? Dan apa kelebihan serta kekurangan setiap suspensi itu?

Dalam artikel ini, kita akan lihatkan 5 jenis sistem suspensi utama.

  1. Solid axle

Suspensi solid axle atau juga dikenali sebagai live axle menggunakan perumah gandar itu sendiri untuk memegang kedua-dua tayar kiri dan kanan. Perumah ini pula biasanya dipasang dengan leaf spring.

Ini menjadikan solid axle itu suspensi yang sangat tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan mengangkat beban berat. Tetapi ia juga mengehadkan keselesaan.

Apabila tayar kiri tergerak, ia akan memberi kesan pada tayar kanan. Leaf spring juga menjadikan suspensi ini agak geras dan anda mungkin terlambung apabila melalui jalan tidak rata.

Imej: The Engine Block

Suspensi solid axle biasanya dijumpai di kenderaan pacuan empat roda, lori-lori besar, dan suspensi belakang kenderaan seperti Perodua Aruz, Toyota Avanza dan Toyota Innova.

  1. Topang MacPherson

Ia sebenarnya jenis topang atau strut, tetapi MacPherson pada namanya diambil dari nama jurutera Amerika, Earle S. MacPherson yang mereka dan membangunkan suspensi ini.

Topang MacPherson ialah jenis paling banyak digunakan untuk suspensi depan kerana ia sangat ideal untuk tayar yang bergerak ke atas-bawah dan membelok kiri-kanan.

Ia juga digunakan kerana rekaannya yang ringkas dan kos rendah untuk komponen. Dan kelebihan paling utama ialah bentuk topang ini yang tirus, menjadikannya sesuai untuk kereta dengan enjin transverse (melintang) untuk pacuan roda-depan.

Cuma kekurangan suspensi topang ini ialah ianya mengehadkan kebolehan jurutera untuk melaras camber (sudut tegak tayar) semasa tayar bergerak ke atas dan ke bawah. Jika kereta mengalami body-roll yang banyak, luas sentuhan tayar dengan permukaan jalan akan berkurang.

Kebanyakan kereta biasa dan premium menggunakan topang MacPherson ini di depan. Cuma ada sesetengah kereta sahaja yang menggunakannya di belakang.

  1. Double wishbone

Suspensi ini terdiri dari sepasang lengan berbentuk A atau V yang disusun bertindih. Kelebihan utama ialah ia memberikan lebih kawalan berbanding jenis topang.

Lebih-lebih lagi dengan lengan atas yang lebih pendek, ia akan mengoptimakan camber tayar semasa bergerak ke atas dan ke bawah. Walaupun di selekoh dengan body roll, kereta akan mempunyai tahap cengkaman yang tinggi.

Double wishbone pada F1. Imej: MaxF1

Double wishbone juga mempunyai susunan yang rendah, maka sebab itu ia digunakan oleh kebanyakan kereta sports, supercar, dan jentera lumba seperti Formula 1.

Walaubagaimanapun, kekurangan double wishbone ialah ia biasanya memakan banyak ruang serta lebih mahal untuk dihasilkan dan diselenggara.

  1. Multilink

Seperti pada namanya, suspensi multilink terdiri daripada beberapa link atau lengan yang menghubungkan hab tayar kepada casis kenderaan.

Lengan-lengan ini biasanya terdiri dari tiga lengan untuk memegang roda dari sisi, satu lengan yang memegang dari depan-belakang, dan satu lengan untuk pelarasan camber atau toe. Susunan ini memberikan kawalan roda yang baik di saat suspensi bergerak ke atas dan bawah.

Suspensi multilink pada Audi. Imej: Audi Technology Portal

Suspensi multilink juga boleh direka untuk mengawal dive (menunduk) dan squat (mendongak) semasa brek dan pecutan mendadak dengan lebih baik. Dalam erti kata lain, multilink menawarkan pengasingan paling ideal antara pengendalian dan keselesaan pemanduan.

Suspensi multilink pada belakang Porsche 911. Imej: Sharkwerks

Kebanyakan kereta premium seperti Lexus dan Audi menggunakan suspensi ini di depan dan belakang. Terdapat juga kereta sports seperti Porsche 911 yang menggunakan multilink di belakang.

  1. Torsion beam

Biasa ditemui di belakang kereta-kereta mampu milik, torsion beam menggunakan trailing arm (lengan menghala ke belakang) dan diintegrasikan dengan crossmember (besi penyambung) yang boleh dipulas untuk membolehkan tayar kiri dan kanan bergerak berasingan.

Kelebihan suspensi ini ialah bentuknya yang leper dan tidak memakan ruang, maka kereta-kereta yang menggunakannya boleh mempunyai ruang kabin yang luas. Kereta seperti Proton Saga, Perodua Bezza, Honda Jazz semuanya bersaiz kompak tetapi tetap mempunyai ruang kabin yang baik kerana penggunaan suspensi ini.

Walaubagaimanapun, torsion beam sering dikaitkan dengan pengendalian yang “biasa-biasa sahaja” kerana strukturnya yang terhad dan tidak banyak pelarasan geometri boleh dilakukan pada pergerakan tayar.

Akan tetapi, itu sebenarnya perkara lapuk. Banyak juga kereta terkini menggunakan torsion beam di belakang tetapi mempunyai pengendalian sangat baik, sebagai contoh Mazda 3 dan Renault Megane RS.

Ini kerana perkembangan teknologi bahan dan kejuruteraan membolehkan jurutera dan pereka menala suspensi dan membuatkannya berfungsi dengan lebih baik berbanding pada kereta 30 tahun dahulu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here