Ini 5 sebab kenapa anda perlu tahu tork lebih penting dari kuasa

3589

Kuasa dan tork adalah dua angka pada kenderaan yang tak ramai faham. Kuasa menunjukkan berapa laju kereta itu boleh pergi, tetapi bagaimana pula dengan tork?

Imej: Youtube Engineering Explained

Walaupun kenyataan ini kurang popular, tahukah anda sebenarnya tork lebih penting? Sebelum itu, apa sebenarnya kuasa dan tork?

Kuasa

Secara ringkas, kuasa atau horsepower (kuasa kuda) ialah unit ukuran. Anda boleh baca sejarah dan cara pengiraan satu horsepower atau satu kuasa kuda di sini.

Kuasa ialah ukuran kadar kemampuan sesuatu enjin melakukan kerja. Lebih banyak kuasa, lebih cepat enjin itu melakukan kerjanya.

Dalam istilah kereta, ia ditafsirkan sebagai kelajuan dan kebolehan kereta itu untuk membawa bebannya.

Tork

Tork pula ialah ukuran pergerakan berpusing atau kilasan pada aci engkol. Ia menentukan berapa banyak kerja boleh dilakukan oleh enjin dan berapa kuat enjin itu.

Bayangkan satu sepana hendak memusingkan satu bolt. Tork ialah kekuatan daya yang diberikan dari hujung sepana itu. Secara matematik, tork ialah Daya x Jarak.

Jadi untuk menambah tork, sama ada tambah daya pada sepana atau tambahkan panjang sepana itu.

Kuasa vs. Tork

Mana lebih penting antara kuasa dengan tork? Bergantung kepada kehendak anda. Tetapi kami akan senaraikan 5 sebab kenapa tork lebih penting dari kuasa.

1. Siapalah kuasa tanpa tork

Tork lebih penting kerana ia salah satu pemboleh-ubah atau elemen dalam perkiraan kuasa.

Kuasa ialah Tork didarab dengan rpm (pusingan enjin per minit) dan dibahagi dengan constant (pemalar).

Jadi lebih tinggi tork, maka kuasa dapat dicapai pada rpm lebih rendah.

2. Boleh memecut dan memotong tanpa turun gear

Merujuk sekali lagi pada formula tadi, jika tork lebih tinggi dengan jumlah kuasa sama, maka rpm yang diperlukan untuk mencapai kuasa itu adalah lebih rendah.

Kebanyakan enjin moden memang memberikan tork maksima pada rpm yang rendah. Sebagai contoh, Mercedes C300 AMG Line mempunyai tork maksima 370Nm pada 1,800rpm, dan Volkswagen Arteon mempunyai 320Nm tork pada rpm serendah 1,500.

Porsche 911 Carrera S pula mempunya tork setinggi 530Nm, dan boleh didapati pada 2,300 hingga 5,000rpm.

Ini membolehkan kereta-kereta ini memotong tanpa turun ke gear lebih rendah, sebaliknya kekal sahaja di gear itu, dan ini akan membawa kita ke sebab seterusnya.

3. Pemanduan bertenaga tetapi lebih bersahaja dan santai

Dengan kemampuan memotong tanpa perlu menurunkan gear, ini akan memberikan pemanduan bertenaga tetapi terasa santai.

Tidak seperti kereta naturally-aspirated yang biasanya mempunyai tork atau kuasa di hujung rpm, ya memang seronok ‘memerah’ enjin NA yang berbunyi merdu. Tetapi ia tidak begitu praktikal untuk pemanduan seharian.

Dengan tork yang lebih tinggi, anda hanya perlu tekan pendikit minyak perlahan-lahan, dan rasakan daya kilas itu ‘menarik’ anda ke depan.

4. Bantu penjimatan bahan api

Seterusnya, apabila mempunyai tork mencukupi di rpm lebih rendah, secara umumnya enjin itu akan mempunyai penggunaan bahan api lebih rendah.

Bayangkan pemanduan dalam bandar dengan menggunakan rpm rendah dan tidak banyak menukar gear, berbanding perlu banyak menukar gear dan enjin ditekan ke rpm lebih tinggi. Anda pasti tahu yang mana lebih selesa dan mudah dipandu, bukan?

5. Lebih mudah membawa beban

Kereta sports seperti Honda S2000 atau BMW M3 E92 mempunyai kuasa tinggi tetapi tork rendah, maka kereta ini perlu dipandu pada rpm tinggi untuk mendapat tork dan daya pecutan.

Tetapi kenderaan berat berenjin diesel mempunyai tork tinggi pada rpm rendah supaya enjinnya tidak perlu ‘dikerah’ sehingga rpm tinggi untuk membawa beban berat.

Jika kenderaan keluarga biasa mempunyai tork tinggi, ini akan memudahkannya membawa beban seperti penumpang penuh dan bagasi. Kenderaan ini juga akan lebih bertenaga dan mudah dipandu menaiki bukit dan memotong dengan muatan penuh.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here