Percubaan sistem tol MLFF di lebuhraya bakal dilakukan tahun depan

267

Pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi sistem kutipan tol di lebuhraya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membayar tol, sekaligus melancarkan perjalanan di lebuhraya.

Gambar hiasan

“Saranan ahli Yang Berhormat sebentar tadi, kita telah membuat kajian (melibatkan) banyak negara dan kita nak yang terbaik, sebab itu dalam proses kajian.



“Dalam masa sama kita akan cuba pada 2024, penggunaan tersebut secara percubaan kita nak melihat keadaannya lebih sesuai digunakan…

“Kita telah pergi melihat banyak negara menggunakan MLFF ini, penggunaannya sangat baik, jadi insyaALLAH kita akan cuba sedaya upaya,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.

Bagi menjawab soalan asal Afnan Hamimi berhubung hala tuju kerajaan terhadap sistem RFID di semua lebuh raya dan usaha menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya.

Abdul Rahman berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong tol yang menggunakan sistem kutipan tol dengan teknologi RFID di semua lebuhraya.

“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan MLFF sebagai usaha menambah baik kutipan tol, teknologi RFID telah diterima sebagai teknologi yang akan digunakan, dalam pelaksanaan MLFF.

“Kami di LLM sentiasa melihat keadaan di lorong tersebut, maknanya kita selalu membuat analisis tentang plaza tol iaitu lorong bagi setiap mod (pembayaran) khususnya Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID,” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini sebanyak 416 lorong tol di seluruh lebuhraya di Malaysia menggunakan teknologi RFID.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here