Siap sedia, Toyota GR Supra 2019 dilancar September ini!

1395

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan bahawa kereta sports yang berkontroversi dan dinantikan, iaitu Toyota GR Supra 2019 akan membuat kehadirannya di Malaysia pada September ini.

Pengumuman ini dibuat semasa pelancaran Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival musim ketiga.



Terdahulu pada Februari lepas, syarikat itu membuat pengesahan bahawa Toyota GR Supra itu sah hadir ke negara ini.

Jentera sports lagenda itu menerima kritikan peminat automotif seluruh dunia kerana persamaannya yang terlalu banyak dengan BMW dan model roadsternya, iaitu Z4.

Harus diingat bahawa “persamaan” ini adalah kerana Toyota dan BMW bekerjasama di beberapa peringkat kajian dan pembangunan (R&D) model Supra/Z4 ini.

Ia adalah perkara biasa dalam industri masa kini untuk berkongsi kepakaran dan mengurangkan risiko selain merendahkan kos.

Namun Supra tetap berbeza dari Z4 walaupun berkongsi banyak komponen mekanikal. Supra dikatakan lebih sporti dan memfokus kepada pemandu, manakala Z4 lebih untuk pemanduan santai dan jarak jauh.

Apa pun, ini hanyalah teori. Penilaian sebenar hanyalah boleh dilakukan sekiranya kami telah memandu uji kereta-kereta ini.

Enjin yang memacu Supra ialah unit 3.0-liter turbo enam-silinder sebaris. Ia menjana 335hp dan 495Nm tork dimana tork hadir dengan kuat pada putaran enjin yang rendah.

Terdapat juga pilihan enjin 2.0-liter yang mempunyai dua tahap kuasa; 197 PS dan 320 Nm tork, serta 258 PS dan 400 Nm tork.

Walau apa pun enjin dipilih, hanya transmisi automatik lapan-kelajuan boleh didapati pada Toyota GR Supra 2019 . Dan kuasa disalurkan ke gandar belakang sahaja.

Setakat ini, belum ada maklumat lanjut mengenai julat harga dan spesifikasi lengkap untuk pasaran Malaysia.

Sementara itu, tonton video The Stig memandu Toyota Supra A90 ini untuk catatan masa di litar Top Gear.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here