Ketidakaturan ujian enjin diesel, Toyota Jepun gantung penghantaran 10 model termasuk Hilux

560

Toyota Industries Corp. berkata menemui ketidakaturan ujian enjin diesel kenderaan penumpang, memaksa Toyota Motor Corp. menggantung penghantaran 10 model diesel termasuk Land Cruiser 300 dan Hilux.

Syarikat gabungannya Toyota Industries Corp. memalsukan data enjin diesel dan membekalkan ia kepada pembuat kereta itu, kata Toyota.



“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana mencetuskan masalah besar kepada pelanggan kami,” kata Presiden Toyota, Koji Sato menambah pengeluar itu akan melakukan segala yang boleh untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Antara 10 model yang terlibat ialah Fortuner dan Innova termasuk kenderaan komersial HiAce yang dijual di Jepun, Eropah dan Timur Tengah serta pasaran lain. Toyota Industries menyatakan penipuan data keluaran bermula sejak 2017.

“Kami berasa sangat bertanggungjawab terhadap salah laku yang berterusan untuk masa yang lama dan kerana gagal menemui dan membetulkannya.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membina semula syarikat dengan pematuhan undang-undang sebagai keutamaan kami,” kata Presiden Industri Toyota, Koichi Ito. 

Susulan itu, Toyota memutuskan untuk menghentikan enam barisan pengeluaran di empat kilang domestik sehingga 1 Februari berikutan pemberhentian penghantaran. 

TIPU JUMLAH SUNTIKAN BAHAN API

Toyota Industries mengubah jumlah suntikan bahan api dalam ujian enjin keluaran bagi menjadikan tork enjin atau daya putaran lebih baik daripada sebelumnya, menurut laporan panel pihak ketiga.

Panel tersebut menyalahkan budaya syarikat korporat yang tidak ingin meningkatkan pematuhan yang mana ia berasa selamat dalam kedudukannya sebagai pembekal Toyota.

“Pematuhan datanya telah menjadi longgar,” kata ketua panel, Hiroshi Inoue.

Toyota berkata telah mengesahkan enjin yang terjejas dan kenderaan itu kini mematuhi piawaian keluaran enjin selepas menjalankan penilaian semula akibat penemuan tersebut.

Akhbar Asahi melaporkan syarikat itu mengumumkan prestasi keluaran tiga model enjin diesel Toyota Motor diukur menggunakan peranti dengan perisian berbeza semasa ujian.

Kementerian pengangkutan mengumumkan akan menjalankan pemeriksaan di tapak kilang syarikat itu di Hekinan, wilayah Aichi, pada 30 Januari.

Toyota mengesahkan enjin yang terkesan dan susulan ujian semula selepas penemuan tersebut, kenderaan kini mematuhi standard output enjin. 

Hino Motors Ltd. sebuah lagi anak syarikat Toyota, mengakui pada Mac 2022 menyerahkan penipuan data pelepasan dan penjimatan bahan api kepada pihak berkuasa pengangkutan.

Syarikat itu berkata penipuan seperti menggunakan angka yang berbeza daripada ukuran sebenar, ditemui dalam ujian enam model enjin forklift lain dan satu model enjin jentera pembinaan serta menghentikan penghantaran semua produk yang terjejas.

Bulan lalu, Daihatsu Motor Co. menghentikan semua penghantaran di dalam dan luar negara  selepas siasatan pihak ketiga mendapati ketidakaturan dalam ujian keselamatan untuk kebanyakan modelnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here